KUALA LUMPUR, 1 Julai – Jentera penerangan merupakan antara elemen terpenting bukan hanya terbatas kepada jentera rasmi yang dikendalikan parti, tetapi memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dihebahkan kepada rakyat.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata strategi kerja perlu disusun dalam keadaan semua jentera penerangan memahami objektif tugasan dengan jelas agar sasaran dapat dicapai sebaiknya.

“Ia tepat pada masanya untuk menyedarkan petugas penerangan di semua peringkat dan bahagian untuk berperanan dengan lebih baik.

“Bahan-bahan maklumat yang akan diolah perlu berpusat daripada satu sumber rasmi agar rujukannya jelas dan lebih tersusun.

“Saya berharap setiap platform parti di media sosial dapat digerakkan dengan aktif mengikut aturan yang betul agar rakyat lebih faham apa BERSATU tawarkan dan berikan.

“BERSATU mesti dilihat menjuarai isu rakyat, prihatin kepada kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pemukiman Penerangan BERSATU Malaysia “Membina Naratif Perjuangan BERSATU” di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Program yang dianjurkan Penerangan BERSATU Malaysia mendapat sambutan dengan seramai 250 peserta hadir terdiri daripada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Penerangan Negeri dan Bahagian, serta Sayap-Sayap termasuk Armada, Srikandi dan Sayap Bersekutu BERSATU.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata jika BERSATU mahu kembali berkuasa semua pihak perlu mengutamakan kepentingan parti, perkukuhkan perpaduan dan fokus membina kekuatan.

“Di antara faktor utama yang menentu kepada kekuatan parti adalah kesetiaan pemimpin dan ahli kepada parti.

“Dalam waktu yang sama pimpinan dan ahli parti di semua peringkat bersatu padu pasti parti menjadi lebih kuat, hebat dan dipandang tinggi oleh rakan serta lawan,” jelasnya.

Justeru, kata Muhyiddin, dalam memastikan PN menjadi lebih kukuh, perlunya strategi awal yang tersusun sebelum pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).