KUALA LUMPUR, 1 Julai – Para jemaah haji pada tahun ini diingatkan untuk sentiasa mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Tabung Haji atau kerajaan Arab Saudi.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini berikutan jemaah haji tahun ini pergi dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih belum reda.

“Saya suka mengingatkan para jemaah agar sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri.

“Jemaah haji Malaysia seperti yang diketahui memang terkenal sebagai jemaah yang sentiasa menjaga peribadi, akhlak dan mematuhi peraturan sepanjang musim haji.

“Marilah kita terus kekalkan nilai-nilai yang baik ini bagi mendapat haji yang sempurna sekali gus menjaga nama baik Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU turut mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan urusan dan mendapat haji yang mabrur.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana memilih Malaysia sekali lagi tahun ini bagi program Inisiatif Laluan Mekah.

“Menerusi program ini, jemaah haji Malaysia ke Mekah tidak perlu melalui prosedur yang memakan masa setibanya di lapangan terbang negara itu.

“Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada petugas-petugas Tabung Haji yang bertugas dengan penuh dedikasi tanpa mengira waktu bagi menyantuni dhuyufurrahman.

“Jasa dan pengorbanan anda semua hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya,” katanya.