KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kerajaan Negeri Sabah menerusi Kementerian Kewangan Negeri (KKN) akan mewujudkan Integrated System secara atas talian antara KKN dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi mencegah pemalsuan pengisytiharan cukai jualan oleh syarikat di negeri itu.

Menurut Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, ia dibangunkan sebagai mengekang perkara ini daripada terus berlaku.

“Saya mengambil perhatian serius berikutan kes melibatkan aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan oleh syarikat yang terlibat kepada KKN Sabah yang dilaporkan melalui sesi Khidmat Nasihat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah.

“Oleh itu, langkah-langkah seperti menambahbaik proses-proses penguatkuasaan dan kutipan akan dilakukan termasuklah pindaan (jika perlu) ke atas undang-undang dan peraturan-peraturan bagi memastikan ketirisan tidak berlaku dan kepentingan kerajaan negeri terjaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, satu unit Task Force akan dibentuk melibatkan KKN Sabah, MPOB dan SPRM bagi tujuan mengutip semula cukai jualan sekiranya ada yang masih belum diisytiharkan kepada KKN Sabah.

Malah tambahnya, KKN Sabah juga bersetuju memberikan tempoh moratorium Bayaran Balik Cukai kepada syarikat yang terlibat.

Untuk itu, syarikat-syarikat boleh memohon untuk taksiran semula sekiranya mereka membuat pengisytiharan butiran yang tidak betul dan membayar cukai yang sebenar selepas taksiran dibuat oleh pihak KKN Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah akan sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam usaha-usaha pencegahan rasuah di negeri Sabah,” katanya.