TANAH MERAH, 2 Julai – Isu prestasi Majlis Pemulihan Negara (MPN) diserahkan kepada rakyat untuk menilai dan bukan orang politik.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kenyataan orang politik kadang-kadang mempunyai muslihat politik.

“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai, kadang-kadang apabila orang politik buat kenyataan itu ada muslihat politik. Saya tak nak kata apa-apa, itu terserah rakyat.

“Saya berada di sini (MPN) untuk membantu negara bukan sahaja bantu kerajaan, saya ambil pendirian apa keputusan yang kita nak usulkan kerajaan kena mengikut dasar kerajaan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan di Tanah Merah, hari ini.

Majlis yang dihadiri lebih 30,000 hadirin dihadiri Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional Negeri Kelantan yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob dan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada majlis itu, beberapa menteri Kabinet dari BERSATU hadir memberikan sokongan iaitu Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir, beberapa pimpinan ADUN PAS dan pemimpin bahagian BERSATU di majlis itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, jika ada perkara baru yang nak disegerakan contohnya waktu nak buat keputusan untuk buka sempadan negara, jadi apa yang diputuskan oleh MPN sempadan dibuka awal Januari tapi nampaknya kerajaan menangguhkan baru bulan April dibuka.

“Tetapi usul sudah datang daripada kita, kenapa kita minta disegerakan kerana selagi kita tutup sempadan bermakna ekonomi kita tidak akan berkembang cepat pelancong pun tidak masuk ke negara kita, kita rugi wang yang cukup besar,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata untuk menyatakan MPN berkesan atau tidak badan itu tidak mempunyai kuasa eksekutif, kementerian atau agensi.

Katanya, tugas MPN adalah sebagai badan penasihat kerajaan persekutuan.

“Kami badan yang memberi nasihat, jadi nak kata gagal atau tak gagal kalau kerajaan fikir cadangan kita baik dia akan buat.

“Tetapi saya faham bahawa proses pemulihan tak mudah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO boleh katalah, macam gagal dan sebagainya.

“Macam dulu dia kata kerajaan gagal, hakikatnya kerajaan tidak gagal, rakyat boleh menilai,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, apa yang penting bukan orang politik yang mengkritik, tetapi biar rakyat yang menilai.

“Kalau rakyat kata Muhyiddin berhentilah, saya berhenti. Lagipun ada duduk di sini sebagai sumbangan probono, saya tak minta gaji saya buat dengan ikhlas dan tak ambil apa-apa bayaran,” katanya.

Ahmad Zahid dalam satu kenyataan Khamis lalu berkata, fungsi MPN sudah tidak berkesan dan bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah-masalah rakyat dengan tertubuhnya Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Menurut Ahmad Zahid, kewujudan MPN yang dipengerusikan Muhyiddin dari awal lagi tidak membuahkan hasil dan berfungsi hanya sebagai penasihat kepada kerajaan.