TANAH MERAH, 2 Julai – Sambutan rakyat Kelantan di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan di Tanah Merah, hari ini disifatkan sebagai luar biasa.

Pengarah Program Pelancaran PN Negeri Kelantan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata beliau mensasarkan jumlah kehadiran seramai 20,000 dan tidak menyangka semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh rakyat Kelantan amat tinggi.

“Hari ini jumlah kehadiran luar biasa. Lebih 30,000 orang hadir. Terima kasih rakyat Kelantan khususnya di Parlimen Tanah Merah atas sokongan yang diberikan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pertahanan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan di Tanah Merah, hari ini.

Hadir di majlis itu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional Negeri Kelantan yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob dan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada majlis itu, beberapa menteri Kabinet dari BERSATU hadir memberikan sokongan iaitu Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir, beberapa pimpinan ADUN PAS dan pemimpin bahagian BERSATU di majlis itu.

Di majlis itu, Ikmal Hisham menceritakan kejayaan pentadbiran Muhyiddin dalam menangani krisis wabak COVID-19 sewaktu menjadi Perdana Menteri.

“Muhyiddin telah berjaya menyelamatkan negara daripada wabak pandemik COVID-19. Beliau buat program vaksinasi untuk rakyat dengan berjaya. Terima kasih Muhyiddin,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Ikhmal Hisham juga menyentuh kejayaan Muhyiddin ketika memimpin Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan menasihati kerajaan dari sudut pembukaan semula ekonomi dan perniagaan untuk rakyat dan negara.