KUALA LUMPUR, 2 Julai – Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini telah mendengar keluhan, mengambil input secara langsung dan bertukar pandangan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat serta perniagaan di peringkat akar umbi selari.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin berkata inisiatif itu adalah hasrat MPN untuk memastikan proses pemulihan negara terus bersifat holistik dan inklusif, merentas sektor, komuniti dan negeri.

“Pagi ini saya memulakan lawatan ke negeri Kelantan Darul Naim dengan mengadakan satu sesi dialog bersama pemimpin masyarakat, wakil persatuan perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anjuran Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan kerjasama Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA).

“Siri dialog di peringkat negeri ini seperti yang telah dianjurkan di Lembah Klang, Langkawi, Melaka dan Johor sebelum ini merupakan antara inisiatif penting MPN,” katanya.

Tambahnya, apa yang lebih penting adalah MPN terus mendengar, memahami denyut nadi rakyat dan bersama mencari penyelesaian yang strategik dan bijaksana kepada permasalahan sosioekonomi di Malaysia.

Katanya, ini bagi memastikan negara kembali kepada landasan pembangunan yang tepat pasca pandemik.

Sesi dialog kali ini turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sememangnya, pandemik global COVID-19 yang melanda Malaysia merupakan satu krisis kesihatan yang tidak pernah dihadapi negara sebelum ini.

Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata pandemik itu juga telah memberi kesan kepada sektor ekonomi, sosial dan pendidikan.

Jelasnya, di bawah Pelan Pemulihan Negara yang juga merangkumi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), sektor-sektor tersebut telah dibuka secara berfasa mengikut nilai ambang.

“Alhamdullilah, semua sektor kini telah dibenarkan beroperasi di bawah pelan ini.

“Walaubagaimanapun, masih banyak aktiviti ekonomi tidak beroperasi sepenuhnya terutama perusahan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata MPN akan terus memainkan peranan sebagai badan penasihat kepada kerajaan dengan memberi cadangan dan input terhadap strategi jangka pendek, sederhana serta panjang dalam usaha pemulihan negara.

Beliau berkata pandemik COVID-19 telah mendatangkan impak yang begitu besar kepada landskap ekonomi Malaysia.

“Maka proses pemulihan ini akan mengambil masa untuk kembali kepada zaman pra-pandemik.

“Banyak pandangan bernas telah dikongsi pada sesi dialog pagi ini, antaranya mengenai kenaikan kos sara hidup, kekurangan tenaga mahir dan barang asas serta keselamatan makanan negara,” katanya.

Muhyiddin berkata apa yang jelas, setiap negeri di Malaysia berhadapan cabaran-cabaran tersendiri dalam pemulihan ekonomi di peringkat negeri masing-masing termasuk negeri Kelantan seperti isu tenaga kerja mahir, sektor-sektor khusus seperti tekstil dan pembasmian kemiskinan.

Beliau berkata sudah pasti pandangan-pandangan yang disampaikan hari ini akan diteliti oleh MPN dalam pembentukan Pelan Pemulihan Negara 2.0 (PPN2.0) bagi memastikan usaha pemulihan ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia.

“Insya-Allah, MPN akan mengadakan lebih banyak lagi sesi dialog dan libat urus sebegini bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam menikmati hasil pemulihan ekonomi yang lebih menyeluruh dan bermakna pasca pandemik.

“MPN juga akan terus mengadakan sesi dialog bersama pakar-pakar industri bagi mendapat input mereka bagi isu-isu kritikal seperti kos sara hidup, yang jika tidak ditangani akan merencatkan proses pemulihan negara,” katanya.