Alhamdulillah semalam Perikatan Nasional (PN) Negeri Kelantan dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis yang begitu bermakna dan bersejarah di Tanah Merah.

Apa yang membanggakan saya ialah melihat kehadiran lebih 30,000 orang sehingga Padang Majlis Daerah Tanah Merah bertukar menjadi lautan manusia.

Saya difahamkan orang ramai mula memenuhi kawasan ini sejak pagi lagi dengan pihak penganjur menyediakan pelbagai aktiviti untuk masyarakat Parlimen Tanah Merah

Pemandangan ini pada saya boleh dianggap sebagai luar biasa lebih-lebih lagi majlis ini diadakan di luar musim pilihan raya.

Jumlah kehadiran yang begitu ramai seumpama ini biasa hanya dapat dilihat sewaktu kempen ketika pilihan raya sahaja, tetapi semalam orang ramai membanjiri kawasan padang awam ini bagi menyaksikan program bersejarah ini.

Saya percaya apa yang kita lihat ini adalah petanda sokongan padu kepada PN yang bakal diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

Ini menjadi bukti penerimaan rakyat kepada satu gabungan parti politik yang matlamat perjuangan adalah untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan bebas daripada penyelewengan dan rasuah serta sentiasa prihatin terhadap nasib hidup rakyat.

Kesepakatan dan hubungan erat yang terjalin ini sudah tentunya menjadi petanda yang cukup baik bagi PN lebih-lebih lagi kita akan berhadapan dengan pilihan raya umum tidak lama lagi.

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada YAB Datuk Ahmad Yaakob, Menteri Besar Kelantan merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan dan Pengerusi PN Negeri Kelantan yang komited dalam mendokong perjuangan PN untuk rakyat di negeri ini.

Terima kasih dan tahniah juga kepada Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor serta seluruh barisan kepimpinan BERSATU Negeri Kelantan yang bekerja keras bagi memastikan program ini berjalan lancar.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Tanah Merah yang juga Timbalan Menteri Pertahanan YB Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz selaku Pengarah program yang telah berjaya menganjurkan majlis ini dengan cemerlang sekali.

InsyaAllah, kesepakatan yang dapat dilihat antara parti-parti komponen PN terutamanya BERSATU dan PAS di negeri Kelantan akan terus memperkukuhkan PN dan mencetus gelombang sokongan padu rakyat kepada PN di seluruh negara.

YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin
Pengerusi Perikatan Nasional
Presiden BERSATU
3 Julai 2022