KUALA LUMPUR, 4 Julai – Pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sangat relevan bagi meningkatkan keupayaan Kerajaan Pusat dalam mentadbir urus serta membuat keputusan yang betul, tepat dan strategik berkaitan kepentingan rakyat, ekonomi mahupun negara.

Ini kerana, dalam suasana negara yang turut dipengaruhi peristiwa dunia sekarang, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memerlukan sokongan seorang Timbalan Perdana Menteri untuk mengambil alih sebahagian tugasan serta tanggungjawab yang diamanahkan rakyat kepada kerajaan untuk dilunaskan dengan sempurna.

Ketua Armada BERSATU Johor Muhd Shamsuddin Paijan berkata tanpa perlu melakukan rombakan, pelantikan seorang TPM pasti akan memperkuat dan memperkukuhkan lagi pasukan Kabinet yang sedang fokus untuk memastikan semua program bagi memulihkan sosioekonomi dan mensejahterakan rakyat menerusi inisiatif pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19, mencapai matlamat.

“Apatah lagi, kehadiran seorang Timbalan Perdana Menteri selain menteri daripada Perikatan Nasional (PN) seperti telah dijanjikan; akan membantu meningkatkan lagi kecekapan Kerajaan Pusat dalam menguruskan pelbagai isu serta mendepani siri cabaran baharu yang muncul seperti kenaikan kos barang keperluan, kemerosotan bekalan makanan serta keselamatan khususnya kesihatan global.

“Untuk itu, ARMADA Johor amat kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, yang menggesa Kerajaan Pusat tidak melayan tuntutan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menuntut lantikan Timbalan Perdana Menteri serta menteri daripada PN,” katanya.

Semalam, Najib dalam kenyataan meminta kerajaan tidak perlu melayan tuntutan Muhyiddin berhubung jawatan TPM.

Najib berkata, tumpuan pada masa ini seharusnya difokuskan kepada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi berbanding berebut soal jawatan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, kuota jawatan dalam Kabinet yang diberi kepada PN adalah hak mutlak PN dan sewajarnya Ismail Sabri membuat lantikan segera kerana telah dipersetujui; dan tidak berbangkit apabila Muhyiddin menuntutnya, maka tuntutan itu dicap sebagai desakan atau ugutan.

Pada masa sama, beliau hairan dan menyifatkan Najib mengalami ‘post power syndrome’ atau sindrom selepas berkuasa kerana sanggup mengganggu gugat Perdana Menteri daripada UMNO sendiri, selain mengkritik secara melulu terhadap Kerajaan Pusat yang ditadbir bersama PN dan UMNO selaku peneraju Barisan Nasional (BN).

“Sementara itu, kami melihat keperluan dan keberkesanan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri yang mampu menggembleng kerjasama dan kepakaran Pusat untuk melancarkan lagi usaha memulihkan ekonomi secara bersepadu serta seragam dengan kerajaan Negeri.

“Pemulihan ekonomi serta kesejahteraan rakyat adalah prioriti dan inilah yang dipertahan serta diperjuangkan oleh Tan Sri Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Ini berbeza dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Najib yang meletakkan survival diri serta politik peribadi sebagai prioriti mereka.

“Lagipun, mereka tidak berada dalam MPN sekali gus jauh dari jangkauan atau lingkungan maklumat berkaitan ekonomi negara. Jadi, jangan sewenang-wenangnya membuat kenyataan melulu yang membidas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan MPN kalau tidak tahu hujung pangkal.

Dalam pada itu, ARMADA Johor juga menyangkal kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki supaya memotong elaun Pengerusi MPN itu sedangkan Tan Sri Muhyiddin tidak mengambil elaun bagi jawatan tersebut kerana niat dan prioriti perkhidmatan beliau adalah untuk membantu kerajaan mencari jalan untuk mengembalikan kestabilan sosioekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.