KUALA LUMPUR, 4 Julai – “Jawatan Pengerusi MPN tidak ada imbuhan yang diberikan. Nak potong apa lagi?”

Itu reaksi Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menyelar kenyataan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mencadangkan agar elaun Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dipotong bagi bersolidariti dengan rakyat yang sedang kesempitan.

Wan Saiful berkata Asyraf sebagai seorang yang berlatar belakang agama wajar berhati-hati supaya tidak terikut-ikut kegilaan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memburukkan imej Muhyiddin.

“Jangan taat membuta sehingga akhlak pun hampir sama.

“Selepas ini jangan pula tercari-cari alasan dan excuse nak menegak benang yang basah.

“Kalau dah jelas salah memfitnah, mohon maaf saja. Tak perlu rekacipta cerita lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Asyraf menyelar tindakan Perikatan Nasional (PN) yang sanggup menuntut jawatan Kabinet tambahan, ketika rakyat gelisah berdepan kenaikan harga barang selain kewangan kerajaan berdepan tekanan untuk memberi subsidi kepada rakyat.

Asyraf menegaskan tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau menambah lagi menteri baharu tidak sepatutnya timbul dalam tempoh sukar ketika ini.

Sebaliknya, beliau berpandangan anggota Kabinet sepatutnya bersolidariti dengan rakyat yang sedang kesempitan, dengan memotong elaun menteri, timbalan menteri, pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan duta khas bertaraf menteri.

Semalam, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lalu bagi membincangkan isu lantikan jawatan baharu, khususnya Timbalan Perdana Menteri seperti yang dijanjikan kepada Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, menggesa Majlis Pemulihan Negeri segera dibentuk bagi melancarkan usaha memulihkan ekonomi bersepadu membabitkan kerjasama kerajaan Pusat dan negeri.

Pengerusi PN itu memaklumkan cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri itu sudah diusulkan kepada kerajaan dan mendakwa ia dipersetujui Ismail Sabri.