KUALA LUMPUR, 4 Julai – Sistem GeoTanaman dan Sistem GeoTanih yang dibangunkan Jabatan Pertanian dapat membantu para petani memperkukuhkan rantaian sistem makanan negara terutamanya dalam subsektor tanaman makanan supaya lebih efisien dan lestari bagi mengurangkan impak akibat krisis makanan.

Justeru itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyeru semua pemain industri untuk mengambil peluang mendaftar dengan Sistem GeoTanaman dan mengguna pakai Sistem GeoTanih untuk perancangan pembangunan pertanian yang lebih efisien yang impaknya akan memberi kesan secara langsung kepada sektor pertanian negara.

Katanya, sistem ini diyakini dapat memberi manfaat kepada para petani dan pemborong dalam merancang pengeluaran hasil tanaman makanan mengikut permintaan dan penawaran serta membuka ruang pasaran untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain industri makanan.

Fokus utama Sistem GeoTanaman adalah untuk memperkasakan ekonomi usahawan tani khususnya dalam menyediakan bekalan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan kepada rakyat dan negara.

“Padanan pasaran atau e-dagang secara terus di antara usahawan tani dengan pengeksport juga boleh dicapai secara dalam talian melalui Sistem GeoTanaman. Sistem ini menjimatkan kos, mesra pengguna, interaktif, mudah difahami dan boleh diakses oleh semua pemegang taruh termasuk jabatan atau agensi lain,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Sistem GeoTanaman dan Sistem GeoTanih di sini pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Azah Hanim Ahmad. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Zahimi Hassan.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, bagi Sistem GeoTanih pula, ia mengandungi maklumat asas tanah bagi tujuan perancangan pembangunan pertanian dan ia menjadi kunci pengurusan tanah lestari dengan membantu petani dan perancang pembangunan pertanian tentang kesesuaian tanah tanaman.

“Sistem ini meminimumkan risiko kerugian akibat kegagalan projek tanaman yang disebabkan ditanam di kawasan yang tidak sesuai. Sistem ini seharusnya menjadi alternatif pertama yang perlu dirujuk untuk mengenali sifat tanah dan mengoptimumkan penggunannya,” katanya.

Ronald berkata, menerusi Jelajah Sistem GeoTanaman Aspirasi Keluarga Malaysia di seluruh Semenanjung Malaysia bermula awal tahun ini, lebih 1,200 pengguna bagi sistem (GeoTanaman) yang terdiri daripada golongan petani, pemborong, kedai input baja dan racun dan pengusaha industri asas tani berjaya didaftarkan.

Dalam merealisasikan Aspirasi Keluarga Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi berpacukan pendigitalan, MAFI turut terlibat dalam inisiatif MyDIGITAL melalui Pemerkasaan Ekonomi Digital Dalam Sektor Pertanian, katanya.

“Walaupun tahap penggunaan digital dalam kalangan petani Malaysia masih rendah, namun sambutan yang menggalakkan daripada kumpulan sasar melalui komitmen daripada warga kerja Jabatan Pertanian telah berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah inisiatif MyDIGITAL melalui Sistem GeoTanaman,” katanya.

Sementara itu, Zahimi berkata, sistem GeoTanaman boleh diakses melalui web dan telefon bimbit bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat geospatial tanaman makanan negara malah pengguna sistem boleh mengurus dan menganalisis maklumat dan data guna tanah Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sistem GeoTanaman merupakan satu sistem dibangunkan menggunakan konsep ‘seni bina berorientasikan perkhidmatan’ mengandungi dua objektif utama iaitu menyokong data Imbangan Perdagangan (BOT) Tanaman Makanan dalam mengatasi lambakan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan dan kemasukan sayur-sayuran serta buah-buahan import.

“Objektif kedua pula adalah bagi membangunkan Pangkalan Data Geospatial Inventori Tanaman Negara bersepadu yang teratur, lancar dan sentiasa dikemas kini ke arah Transformasi Pertanian Digital,” katanya.

Bagi sistem GeoTanih, Zahimi berkata, ia dibangunkan untuk memudahkan carian jenis tanah dan kesesuaian tanaman bagi setiap lokasi dengan penggunaan sistem dalam talian dan ia dapat mengakses maklumat tanah yang dicerap di lapangan melalui aktiviti siasatan tanah dan boleh diperoleh dalam bentuk bercetak atau digital,” katanya.

Katanya, melalui kedua-dua sistem ini, kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada golongan sasar juga dapat ditingkatkan apabila maklumat dan data tanah yang sahih, tepat dan tersedia segalanya berada di hujung jari.