KUALA LUMPUR, 4 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dinasihatkan supaya lebih peka serta memberi tumpuan kepada kes perbicaraan mahkamah yang sedang dihadapinya, daripada mempersoalkan tugas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedang mengetuai Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor Mejar Bersekutu (PA) Md Anuar Mohd Nor berkata beliau menyokong kenyataan Muhyiddin yang mahu menyerahkan penilaian sepenuhnya kepada rakyat mengenai prestasi dirinya.

“Adalah tidak layak sama sekali untuk mempersoalkan hasil kerja serta prestasi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipimpin Presiden BERSATU Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin saat dan ketika ini.

“Justeru, saya selaku Ketua Bersatu Bahagian Hulu Selangor yang berdiri teguh dan menyokong sepenuhnya kenyataan YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohamad Yassin untuk menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat terbanyak bagi menilai prestasi dirinya dan bukan dari campur tangan orang politik terutamanya dari kluster mahkamah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dalam kenyataan berkata, fungsi MPN sudah tidak berkesan dan bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah-masalah rakyat dengan tertubuhnya Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Menurut Ahmad Zahid, kewujudan MPN yang dipengerusikan Muhyiddin dari awal lagi tidak membuahkan hasil dan berfungsi hanya sebagai penasihat kepada kerajaan.

Bagaimanapun, perkara itu mendapat perhatian Muhyiddin.

Dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan baru-baru ini, Muhyiddin berkata isu prestasi Majlis Pemulihan Negara (MPN) diserahkan kepada rakyat untuk menilai dan bukan orang politik.

Muhyiddin berkata, ini kerana kenyataan orang politik kadang-kadang mempunyai muslihat politik.

“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai, kadang-kadang apabila orang politik buat kenyataan itu ada muslihat politik. Saya tak nak kata apa-apa, itu terserah rakyat.

“Saya berada di sini (MPN) untuk membantu negara bukan sahaja bantu kerajaan, saya ambil pendirian apa keputusan yang kita nak usulkan kerajaan kena mengikut dasar kerajaan sedia ada,” katanya.