KUALA LUMPUR, 5 Julai – Penerimaan Bahagian-Bahagian BERSATU menerima aduan isu-isu kaum lain seperti kaum India dan Cina menunjukkan pemimpin-pemimpin akar umbi BERSATU tetap ikhlas memperjuangkan kaum minoriti walaupun asalnya hanya memperjuangkan kaum pribumi dan Bumiputera.

Ketua Penerangan Sayap Bersekutu BERSATU, S Gobi Krishnan berkata usaha yang dilakukan Sayap Bersekutu BERSATU untuk mengupayakan kaum India dan Cina mendapat sokongan padu Bahagian-Bahagian BERSATU.

“Melalui Program Pemukiman Penerangan BERSATU, Sayap Bersekutu turut membangkitkan isu-isu yang melanda kaum Cina dan India seperti peluang perniagaan, peluang pendidikan, pemilikan tanah, isu perumahan B40 serta isu kewarganegaraan.

“Penerimaan Bahagian-Bahagian BERSATU terhadap isu ini adalah amat baik. Malahan ada bahagian yang turut sama mencadangkan jalan penyelesaian seperti untuk isu kewarganegaraan serta pendidikan kaum India khasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Penerangan BERSATU Malaysia menganjurkan program Pemukiman Penerangan BERSATU Malaysia yang turut menyaksikan penyertaan Sayap Bersekutu yang diketuai oleh S Gobi sebagai Ketua Penerangan dan pasukan Penerangan Sayap Bersekutu Nasional.

Dalam pada itu, S Gobi berkata inilah tarikan utama BERSATU bersama-sama pemimpin Cina dan India yang tetap berbangga dengan identiti diri sendiri.

Katanya, kesemua mereka mampu berganding bahu dan bekerja bersama-sama demi mencapai matlamat sebuah negara yang berbilang kaum dalam erti kata sebenarnya.

“Ini menyebabkan kami dari Sayap Bersekutu di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Santhara Kumar menjadi bertambah yakin untuk memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing melalui wadah perjuangan BERSATU yang inklusif,” katanya.