BALING, 5 Julai – BERSATU Padang Serai menggerakkan 40 ahlinya dalam misi membantu mangsa banjir di Baling, Kedah.

Ketua Bahagian BERSATU Padang Serai, Khairul Anuar Ramli berkata mereka yang bergerak lewat petang tadi tiba pada sebelah malam dengan membawa pelbagai barangan keperluan.

Antara barangan keperluan itu adalah air minuman, pakaian, pampers, peralatan membersih diri dan lain-lain lagi.

“Semoga sumbangan kecil ini dapat meringankan bebanan yang ditanggung mangsa banjir.

“Sesungguhnya setiap ujian atau musibah yang berlaku ada hikmah yang Allah berikan. Saya mendoakan semoga semua mangsa yang terlibat diberikan ketabahan untuk mengharungi dugaan berat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan barangan keperluan kepada Ketua Bahagian BERSATU Baling yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Taufik Yaacob.

Sementara itu, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan agar jentera parti segera turun ke lapangan untuk menyampaikan bantuan dan pertolongan kepada mangsa-mangsa banjir di Baling, Kedah akibat hujan lebat selama tiga jam, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menjelaskan beberapa Bahagian BERSATU telahpun tiba di Baling.

“Saya amat bersimpati dan prihatin dengan musibah yang melanda Baling, Kedah di mana kawasan itu dilanda bencana kepala air dan banjir kilat.

“BERSATU, melalui BERSATU Kedah dan BERSATU Bahagian Baling, telahpun berada di kawasan bencana sejak ia mula berlaku dan usaha-usaha bantuan segera telah dimulakan.

“Dato Suhaimi Abdullah selaku Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kedah telah menggerakkan Pusat Operasi Bencana BERSATU Kedah dan koordinasi kerja-kerja bantuan daripada BERSATU berjalan dari Pusat Operasi ini.

“Jentera BERSATU Bahagian Baling yang diketuai oleh Saudara Mohd Taufik Yaacob pula telah bersama dengan rakyat setempat dan terlibat dalam operasi bantuan sejak bencana bermula, termasuk bersama YAB Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.