KUALA LUMPUR, 5 Julai – Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan agar jentera parti segera turun ke lapangan untuk menyampaikan bantuan dan pertolongan kepada mangsa-mangsa banjir di Baling, Kedah akibat hujan lebat selama tiga jam, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menjelaskan beberapa Bahagian BERSATU telahpun tiba di Baling.

“Saya amat bersimpati dan prihatin dengan musibah yang melanda Baling, Kedah di mana kawasan itu dilanda bencana kepala air dan banjir kilat.

“BERSATU, melalui BERSATU Kedah dan BERSATU Bahagian Baling, telahpun berada di kawasan bencana sejak ia mula berlaku dan usaha-usaha bantuan segera telah dimulakan.

“Dato Suhaimi Abdullah selaku Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kedah telah menggerakkan Pusat Operasi Bencana BERSATU Kedah dan koordinasi kerja-kerja bantuan daripada BERSATU berjalan dari Pusat Operasi ini.

“Jentera BERSATU Bahagian Baling yang diketuai oleh Saudara Mohd Taufik Yaacob pula telah bersama dengan rakyat setempat dan terlibat dalam operasi bantuan sejak bencana bermula, termasuk bersama YAB Menteri Besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful juga menyambut baik usaha dan tindakan segera yang diambil kerajaan negeri Kedah dalam merangka pelan tindakan untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terkesan.

“Sebagaimana kenyataan Menteri Besar Kedah YB Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mencadangkan kawasan yang kritikal di beberapa kampung yang terjejas banjir di Baling diisytiharkan sebagai kawasan Darurat Bencana Tahap I atau II selari dengan situasi dan bidang kuasa yang ada, saya harap agar pihak-pihak yang berkenaan mengambil keputusan segera terhadap cadangan itu agar kebajikan mangsa dapat dipastikan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada jentera kerajaan negeri Kedah, agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, dan semua sukarelawan BERSATU yang terlibat dalam pengurusan musibah ini.

“Saya doakan semua mangsa dapat bersabar dengan ujian ini dan berada dalam keadaan yang selamat,” katanya.