KUALA LUMPUR, 5 Julai – Perbincangan jawatan timbalan perdana menteri yang dibuat antara presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, bukan sesuatu yang baharu.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jawatan itu adalah perjanjian yang dibuat antara Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail sebelum beliau dilantik menjadi perdana menteri.

“Ini bukan perkara baru. Ini satu perjanjian ditandatangani sebelum Ismail ambil alih jadi perdana menteri.

“Jadi ada perjanjian (dan) dalam perjanjian itu mengandungi terma dipersetujui kedua-dua pihak yang mewakili entiti masing-masing. Ini bukan permintaan baru tetapi perjanjian yang belum dipenuhi,” katanya memetik laporan portal FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah perjanjian dinyatakan Muhyiddin mengenai jawatan timbalan perdana menteri ada dibuat sebelum ini dan kenapa desakan itu dilakukan ketika ini.

Ahad lalu, Muhyiddin berkata, beliau bertemu Ismail minggu lepas untuk membincangkan pelantikan dalam Jemaah Menteri, termasuk jawatan timbalan perdana menteri yang menurutnya berkait perjanjian PN dengan perdana menteri.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata beliau menyerahkan kepada Ismail untuk menentukan jawatan yang dibincangkan dengan Muhyiddin kerana ia merupakan kuasa prerogatif perdana menteri.

Bagaimanapun, beliau berkata BERSATU akan melihat dan menilai sama ada perjanjian itu akan ditunaikan Ismail atau tidak.

“Kita sebagai manusia dinilai sejauh mana memenuhi janji terutama janji bertulis. Ismail juga (sudah tentu) mahu dikenali sebagai perdana menteri yang memenuhi janji beliau dan bukan sekadar buat janji,” katanya.

Wan Saiful berkata, banyak lantikan disandang BERSATU dan PAS yang sepatutnya dikekalkan ketika Ismail menjadi perdana menteri tidak dikekalkan.

“Saya faham ada pelbagai cabaran (tetapi) cabaran kena selesaikan. Sebab janji tetap janji,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful menasihatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi tidak mencampuri urusan pelantikan timbalan perdana menteri oleh Ismail.

Beliau juga enggan melayan dakwaan dibuat Puad semalam yang menyatakan Muhyiddin menamakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai timbalan perdana menteri.

“Puad tak payah sibuk. Jadi saya punya pandangan, kita tak payah layan sangatlah. Saya punya cadangan kepada Puad tumpu tugas sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Johor yang beliau dapat hasil mengampu sekian lama,” katanya.

Wan Saiful juga berkata, perbincangan jawatan timbalan perdana menteri bukan “level” Puad, sebaliknya perbincangan itu membabitkan perdana menteri dengan bekas perdana menteri.

Beliau turut menasihatkan PAS sebagai rakan komponen dalam PN membuat kenyataan yang tidak mengguris hati rakan dalam BERSATU.

Katanya, sebarang pandangan mengenai logo akan digunakan PN dalam pilihan raya umum bagi parti komponen gabungan itu perlu dibawa ke mesyuarat rasmi.

“Di Melaka dan Johor, logo digunakan adalah PN, dalam mesyuarat rasmi kita (PN) tidak pernah dibincangkan gunakan selain logo PN.

“Jadi kawan-kawan dalam PAS yang ada pandangan berbeza, cadangan saya bawa ke dalam mesyuarat parti sendiri dulu,” katanya ketika ditanya kenyataan PAS baru-baru ini memberi bayangan seolah akan menggunakan logo sendiri pada PRU.