TEMERLOH, 6 Julai – Armada BERSATU menegaskan isu harga barang naik adalah isu besar yang perlu ditangani oleh kerajaan.

Ketua Penerangan Armada BERSATU, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata rakyat kini semakin marah dan terhimpit lebih lagi kenaikan harga minyak masak.

“Rakyat semakin kecewa dan terkilan dengan tindak tanduk Umno di mana semakin gagal tangani rakyat.

“(Mereka) juga terhimpit dengan kepimpinan Umno yang bergolak dan bergaduh sesama mereka bagi mengalih pandangan isu (kenaikan harga barang),” katanya dalam sidang media bersama Armada BERSATU Pahang di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ashraf berkata Armada BERSATU Nasional dan Armada BERSATU Pahang mendesak kerajaan melaksanakan tiga perkara dan bukannya dengan menarik subsidi.

“Pertama Armada desak kaji semula untuk menilai pencukaian ke atas orang-orang kaya.

“Kedua kita minta kerajaan memperkenalkan cukai keuntungan modal terhadap syarikat-syarikat yang ambil hasil supaya dicukaikan.

“Ketiga cukai Warisan. Orang yang wariskan kekayaan pada legasi minta cukaikan mereka ini,” katanya.

Beliau berkata jika tidak, orang yang susah kan menjadi semakin susah, dan orang kaya akan menjadi semakin kaya.

Cukai keuntungan modal atau capital gain tax (CGT) adalah cukai yang dikenakan dan dipungut dari hasil keuntungan penjualan dan urusniaga (transaksi) saham-saham, bon-bon, emas dan opsyen saham seperti ESOS (Employee Share Option Scheme- Skim Saham Pilihan Pekerja) dan sebagainya.