SHAH ALAM, 6 Julai – Pengeluaran bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran tidak terjejas walaupun lesen 24 syarikat pembungkusan semula digantung dan ditarik akibat kesalahan penyelewengan sejak tahun lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata ini kerana kuota mereka telah diberikan kepada syarikat lain.

“Ini bagi memastikan bekalan minyak masak 60,000 tan metrik tidak berkurangan dan mencukupi di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pemeriksaan audit dan pemutihan di premis pembungkusan minyak masak bersubsidi di Shah Alam pada Selasa.

Beliau juga berkata aktiviti penyeludupan dan penyelewengan minyak masak paket bersubsidi kini dikesan tidak hanya membabitkan syarikat di sempadan negara malah di Lembah Klang dan Perak.

“Perkara ini adalah sesuatu yang menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku kerana subsidi diberi oleh kerajaan kepada rakyat di negara ini tetapi dinikmati oleh warganegara lain,” katanya.

Rosol berkata jurang perbezaan ketara harga minyak masak bersubsidi pada RM2.50 sekilogram berbanding harga minyak masak sawit semasa yang mencecah RM8 sekilogram antara faktor permintaan terhadap minyak masak bersubsidi meningkat sekali gus mengganggu kecukupan bekalannya di pasaran.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menjalankan penguatkuasaan secara agresif di seluruh negara untuk memantau, memeriksa dan membuat audit ke atas semua syarikat pembungkusan semula serta pemborong bagi mengatasi isu penyelewengan dan penyeludupan minyak masak bersubsidi.

Semalam, kerajaan mengerahkan pihak penguat kuasa untuk menggempur daripada peringkat kilang pembungkusan hingga ke sempadan negara bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan minyak masak paket bersubsidi.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsudin pula berkata isu kekurangan bekalan minyak masak pada setiap 1 hari bulan adalah disebabkan permulaan kuota baharu yang diberikan kepada kilang pembungkusan semula.

“Setiap 1 hari bulan, kilang akan hantar stok minyak masak pada kilang pembungkusan semula berdasar kuota bulan baharu… maka kilang pembungkusan semula akan mengepek minyak masak tersebut berdasarkan kuota, makin nak ke hujung bulan, makin susut kuota tinggal.

“Itu yang hujung bulan dan permulaan bulan ada sedikit kekurangan bekalan,” katanya selepas operasi pemeriksaan audit dan pemutihan di sebuah syarikat di Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur.