KUALA LUMPUR, 7 Julai – BERSATU optimis dengan masa depan dan tidak goyah, walaupun terdapat beberapa nama besar meninggalkan parti itu sejak Mei lalu.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata tindakan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi meninggalkan parti itu adalah proses biasa dalam demokrasi.

Tetapi, beliau mendakwa keahlian BERSATU semakin bertambah dari semasa ke semasa dan setakat ini mereka mempunyai 800,000 ahli di seluruh negara.

“Ini menunjukkan ada sambutan yang baik kepada BERSATU. Bagi saya ini satu perkembangan positif.

“Tak dinafikan ada nama-nama tertentu yang telah isytihar keluar parti dan bagi saya ini proses biasa dalam demokrasi. Masing-masing bebas membuat keputusan, nak keluar atau masuk dalam mana-mana parti,” katanya memetik laporan portal FMT.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keluar BERSATU dan kemudian menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Ia disusuli Mohamaddin yang juga ADUN Segama meninggalkan BERSATU pada 28 Jun lalu dan kini menjadi wakil rakyat bebas.

Sebelum ini, terdapat desas-desus Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon akan meninggalkan BERSATU, tetapi kedua-dua pemimpin itu menafikannya.

Wan Saiful mengakui BERSATU dalam proses muhasabah untuk melihat kembali punca pemimpin terbabit keluar parti.

Beliau berkata, sekiranya tindakan itu disebabkan ketamakan, ia adalah langkah pembersihan dan jika sebaliknya, BERSATU perlu membaiki kelemahan yang ada.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful yakin BERSATU mempunyai masa depan yang cerah, walaupun menerima sokongan memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Ini kerana, katanya, BERSATU baru ditubuhkan lima tahun dan Perikatan Nasional (PN) yang baru berusia dua tahun lebih sudah dapat menjadi kerajaan.

“BERSATU bantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Yang mengejutkan, kita kekal sebagai parti memimpin kerajaan selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan.

“Untuk parti berusia lima tahun, ini pencapaian di luar jangka. Realitinya (kami) menerima sokongan memberangsangkan dalam PRN Melaka dan Johor.”

Katanya, beliau tidak bimbang dengan kekalahan PN dan BERSATU dalam PRN Melaka serta Johor kerana yang penting ialah mereka dalam proses memperkukuhkan parti.

“Kekalahan dalam dua PRN itu adalah perkara biasa. Lihat sejarah PKR dan PAS, mereka juga perlukan masa yang lama untuk mendapatkan bilangan Ahli Parlimen yang sihat,” katanya.