KUALA LUMPUR, 7 Julai – Sesuatu yang amat janggal bagi Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan apabila tidak mendapat maklumat tepat daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berhubung perjanjian yang ditandatangani oleh PM dengan Perikatan Nasional (PN), sebelum Ismail dilantik sebagai perdana menteri.

Ketua Bahagian BERSATU Kuala Terengganu Badrul Hisham Shafie berkata sebagai Pengarah Ekonomi yang berada di pejabat PM, ketiadaan maklumat tersebut membuktikan beliau bukanlah ‘orang kepercayaan’ Ismail Sabri.

“Sesuatu yang amat janggal bagi seorang Ketua Penerangan UMNO Malaysia dan Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri tidak mendapat maklumat tepat.

“Jika maklumat perjanjian PM kepada PN ini sengaja tidak didedahkan kepada Shahril, bermakna Shahril bukanlah ‘orang kepercayaan’ PM.

“Apakah lantikan beliau sebagai ‘Pengarah Ekonomi’ sekadar memenuhi tuntutan atau janji?

“Jika begitu keadaan, elok benar Shahril lepaskan jawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Badrul Hisham berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berkata masih ada perkara yang Ismail Sabri belum cukup percaya untuk berkongsi maklumat dengan Shahril Hamdan berhubung perjanjian yang ditandatangani oleh PM dengan Perikatan Nasional (PN), sebelum Ismail dilantik sebagai perdana menteri.

Wan Saiful berkata mungkin kejujuran Shahril Hamdan masih dipersoalkan ekoran pernah dituduh sebagai ‘spy’ Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di pejabat PM.

Wan Saiful menjelaskan yang menjadi saksi kepada ‘coalition agreement’ di sebelah Perdana Menteri adalah Tan Sri Annuar Musa.

“Coalition agreement adalah satu “best practice” yang diukir oleh Dato Sri Ismail Sabri. Memang menjadi kebiasaan di negara-negara yang demokrasinya lebih matang untuk mempunyai perjanjian bertulis coalition agreement jika mahu bentuk gabungan. Bab ini kita mesti puji. Tahniah Dato Sri!

“Semasa Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, UMNO hantar surat yang mengandungi nama-nama yang UMNO calonkan untuk pelbagai jawatan. Kami tak ada pula kata UMNO gila kuasa sebab memang itulah “best practice” yang betul.

“Jadi macai-macai Zahid Hamidi janganlah nak berlakon bodoh pula. Bila PN hantar senarai nama, itu memang perkara biasa. Dan bila PN merujuk kepada coalition agreement, itu juga perkara biasa,” kata Wan Saiful.