Awal bulan ini BERSATU Malaysia telah menganjurkan Pemukiman Ketua-Ketua Penerangan parti dari seluruh negara. Ia dihadiri 250 orang yang terdiri daripada ahli-ahli MPT, Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Penerangan Negeri serta Sayap-Sayap Bahagian termasuk Armada, Srikandi dan Sayap Bersekutu BERSATU.

Saya antara yang hadir.

Temanya ‘Membina Naratif Perjuangan BERSATU’ memang cukup merangsang. Tahniah kepada Datuk Wan Shaiful atas inisiatif menganjurkan program yang hebat itu.

Selain teruja dengan semangat yang ditunjukkan oleh sahabat-sahabat dari seluruh negara, saya juga amat tertarik dengan ucapan perasmian oleh YB Tan Sri Presiden. Begitu bersemangat sehinggakan saya berasa orang yang terbaring sakit pun akan segera bangun apabila mendengar intipati ucapan beliau.

Banyak yang ditekankan oleh YB Tan Sri dalam ucapan itu. Daripada kejalangan (ini perkataan saya bukan perkataan presiden) pengkhianat-pengkhianat yang bersekongkol dengan petualang merompak hasil mahsul negara sehinggalah kepada keperluan merawat batang tubuh politik Melayu dan Pribumi yang telah menghidap kanser sejak sekian lama.

Yang tidak kurang pentingnya ialah peringatan beliau tentang semangat kerja berpasukan dan keperluan kepimpinan Melayu dan Pribumi menghayati tuntutan agama tentang keperluan berlaku adil kepada rakyat pelbagai agama, bangsa dan latar belakang. Semuannya, kata beliau, harus diterjemahkan melalui tindakan-tindakan yang seiring dengan dasar-dasar parti.

Saya yakin ramai yang meninggalkan permukiman itu dengan semangat yang berkobar-kobar. Sama seperti penonton filem super-duper box office ‘Mat Kilau’, yang melangkah keluar dari pawagam dengan penuh kesedaran tentang peri pentingnya jati diri, bersatu hati dan semangat juang yang tinggi jika tidak mahu diperkotak-katikkan oleh musuh.

Harapan saya cuma satu iaitu agar semangat yang meruap-ruap itu akan kekal bersemarak sehingga bila-bila. Jangan sekali-kali biarkan ia sejuk dan pudar.

Telah banyak kali saya tegaskan dalam tulisan-tulisan saya bahawa cabaran yang menanti di depan kita sangat besar. Lebih besar daripada yang kita depani semasa PRU 14. Persekitaran politik semasa, kawan dan lawan hampir kesemuanya berbeza daripada dahulu. Kita tidak boleh menggunakan formula dan strategi yang sama sepenuhnya di medan perang baharu.

Sayugia diingat bahawa menjelang PRU14 seluruh negara dilanda demam politik. Meluat dan menyampah orang terhadap kerajaan pimpinan Najib Razak, yang sarat dengan keangkuhan dan salah lakunya, menyebabkan politik menjadi subjek yang amat menarik minat sehinggakan kelawar dan tupai pun kalau boleh hendak mengundi demi memastikan Najib dan kerajaannya tumbang.

Sekarang tidak begitu. Kita berdepan dengan khalayak yang mula berasa jelek dan jelak terhadap politik. Kehadiran pengundi 18 menambahkan lagi jumlah golongan ini. Bagi mereka fokus utama adalah tentang kehidupan sehari-harian. Tentang mulut, tentang perut. Tentang lauk di dapur, tentang lampin dan susu anak. Mereka tidak peduli pada gagasan dan idea-idea besar. Mereka tidak boleh dipujuk lagi dengan apa yang kita boleh berikan sepuluh atau lima belas tahun akan datang. Yang mereka pentingkan ialah apa yang mereka boleh dapat hari ini.


Tidak susah untuk menarik sokongan rakyat yang membenci musuh kita. Tidak susah juga memancing minat golongan atas pagar yang celik politik. Tetapi tidak mudah untuk mendapat perhatian daripada mereka yang tidak mempedulikan politik; yang sikap dan pendirian mereka berubah-ubah mengikut situasi. Mereka inilah yang perlu kita sasarkan. Mereka ini yang perlu kita yakinkan bahawa BERSATU mampu menjadi rakan yang bersedia jatuh bangun bersama mereka, bukannya menjadi kuasa dominan yang hanya pandai menabur dedak sebagaimana parti ‘tuttttt’.

Kita dari BERSATU harus lebih peka terhadap kehendak golongan ini. Jangan sekadar mendengar keluhan dan rintihan mereka. Sebaliknya perjuangkanlah. Kalau hari ini mereka mengeluh tentang harga barang yang terus naik atau tentang harga sawit yang mula jatuh, cepat-cepatlah sambut. Bersuaralah bagi pihak mereka. Jangan jadikan kedudukan BERSATU dalam kerajaan sebagai plaster yang menutup mulut atau rantai yang menggari tangan. Di tempat yang perlu bersuara jangan diam kerana kita masuk politik bukannya untuk menjadi tunggul mati.

Majoriti rakyat berada dalam keadaan tercungap-cungap sekarang. Mereka perlukan hero dan sepatutnya BERSATUlah yang memikul tugas itu!

Penulis adalah Lt Kolonel Bersekutu (PA) Abdul Razak Khamis, Ketua Bahagian BERSATU Pendang. Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.