KUALA LUMPUR, 7 Julai – “Orang UMNO pun menyampah dia.”

Itu reaksi Ketua Bahagian BERSATU Batu Pahat Syed Mohamad Syed Alwi ketika mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang sering mencampuri urusan BERSATU dan menyerang Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak kebelakangan ini.

Syed Mohamad mendakwa tindakan Puad, yang juga ADUN Rengit, dilihat sengaja mahu menarik perhatian ramai dan menjadikan dirinya seolah-olah terkenal sedangkan ada di kalangan pemimpin UMNO turut meluat dan menyampah keberadaannya di DUN Rengit.

“Saya kenal Puad secara peribadi ketika membantunya dalam kempen pilihan raya sewaktu berada dalam UMNO dulu.

“Bagaikan menolong anjing yang tersepit. Kalau tanya orang UMNO di sini, cerita dahulu boleh ungkit kembali.

“Puad nak dirinya dihormati, tetapi sombong. Sebab itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13, dia kalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 14 Mac lalu, Puad pernah meminta Muhyiddin serta barisan menteri dari BERSATU meletakkan sebarang jawatan yang dipegang dalam kerajaan ekoran kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Terbaru, Puad mendakwa Muhyiddin dikatakan menamakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai timbalan perdana menteri dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Tindakan Puad itu diselar Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal yang berkata Puad wajar menumpukan perhatian kepada tanggungjawabnya sebagai Speaker DUN Johor dan ADUN Rengit, berbanding mencampuri urusan BERSATU.

Dr Sahruddin turut menasihati Puad agar tidak menunjukkan sikap seolah-olah ‘gila bayang atau kemaruk’ terhadap BERSATU sehingga dilihat kerap ‘melatah’ melalui kenyataan yang dikeluarkan.

Dr Sahruddin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, Mohd Puad sebaliknya perlu menghormati amanah diberikan rakyat, terutama sebagai ADUN, selain tidak mencemari kedudukannya sebagai Speaker DUN Johor.

Mengulas lanjut, Syed Mohamad berkata Puad tidak boleh berasa selesa walaupun menang di DUN Rengit hanya majoriti 1,920 undi di PRN Johor lalu.

Sampai ke hari ini, kata Syed Mohamad, Puad tidak buat apa-apa pun untuk rakyat Rengit, melainkan jamuan hari raya Aidilfitri yang lalu.

“Saya menasihatkan Puad muhasabah diri, berubah dan akur dengan keadaan sekeliling dia.

“Jangan hentam Muhyiddin seolah-olah dia seorang sahaja yang betul. Fokus dan beri khidmat pada kawasan dia.

“Sepatutnya, Puad bersyukur Allah mengembalikan kesihatan yang baik pada dia walaupun pernah diuji satu ketika dulu,” katanya.