Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu segera melakukan analisis menyeluruh terhadap rantaian pembekalan (Supply Chain) dan juga kepada Rantaian Keuntungan Perkhidmatan (Service-Profit Chain) industri bekalan ayam negara.

Kerajaan perlu menetapkan paras keuntungan yang boleh diambil oleh pengeluar ayam dalam tempoh masa yang tertentu mengikut kondisi ekonomi semasa dengan syarat-syarat yang tertentu. Bukan menetapkan harga runcit dipasaran.

Menteri harus mengelak daripada dilihat mendominasi pemikiran kapitalisme yang mengambil hak rakyat, kesannya akan menjadi punca kepada segala kerosakan dan juga menyebabkan berlakunya krisis. 

Pihak kementerian perlu meneliti dasar-dasar yang dapat meningkatkan penawaran ayam. Sebagai contohnya, pihak kerajaan boleh memberi insentif kepada penjual makanan ayam supaya merendahkan kos bagi membela ayam. Sekiranya penawaran melebihi permintaan, rakyat dapat menikmati harga ayam yang rendah.

Fokus utama adalah untuk mencari dimanakah sebenarnya punca kenaikkan harga tersebut itu berlaku. Semua ini tidak jelas. Dan kerajaan juga tidak dapat memberikan satu maklumat yang tepat kepada rakyat mengapa kenaikkan harga ayam ini berlaku.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan harus lebih serius dalam usaha memastikan bekalan serta harga produk pertanian stabil bagi mengekang kenaikan harga.

Apa yang membimbangkan adalah, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, jagung, bijirin, sayur-sayuran, dan buah-buahan yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas muka bumi ini.

Ronald Kiandee perlu memanfaatkan kedudukan beliau sebagai Menteri Pertanian dengan berfikiran secara kreatif dan kritis seperti pemimpin-pemimpin terdahulu dengan mewujudkan dasar pertanian baharu seperti (FELDA) dan (FELCRA), bagi memberi peluang dan galakan kepada rakyat miskin dan tidak berkemampuan untuk bertani dengan memberikan tanah lahan secara percuma, subsidi dan apa juga bantuan kepada mereka.

Dalam jangka masa yang panjang, negara kita memerlukan simpanan dan bekalan makanan yang berterusan bagi memastikan rakyat di negara ini tidak mengalami masalah kekurangan makanan yang boleh menyebabkan peningkatan harga barang, peningkatan kadar jenayah akibat kekurangan sumber makanan dan kadar inflasi yang tinggi.

Kesimpulannya, apabila kita berada pada suatu tahap dimana kita mempunyai kuasa untuk menentukan dasar yang terbaik untuk negara, lakukanlah dengan sehabis baik kerana dengan setiap tindakan kita itulah yang akan mencorakkan baik dan buruk nasib masa hadapan nusa dan bangsa.

Penulis adalah Mahathir Mohd Rais, Ketua Bahagian BERSATU Segambut. Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.