JOHOR BAHRU, 7 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi diminta menumpukan perhatian kepada tanggungjawabnya sebagai Speaker DUN Johor dan ADUN Rengit, berbanding mencampuri urusan BERSATU.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika menegaskan perkara itu turut menasihati Mohd Puad agar tidak menunjukkan sikap seolah-olah ‘gila bayang atau kemaruk’ terhadap BERSATU sehingga dilihat kerap ‘melatah’ melalui kenyataan yang dikeluarkan.

Dr Sahruddin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, Mohd Puad sebaliknya perlu menghormati amanah diberikan rakyat, terutama sebagai ADUN, selain tidak mencemari kedudukannya sebagai Speaker DUN Johor.

Malah, beliau berkata, sikap Mohd Puad yang bibirnya tidak pernah lekang menyebut BERSATU, juga menimbulkan kehairanan.

“Meskipun bergelar Yang Berhormat, apatah lagi telah dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri Johor, beliau masih mempunyai masa terluang yang banyak untuk menyerang BERSATU.

“Masa terluang itu digunakan oleh beliau sehabis mungkin untuk meratib nama pimpinan BERSATU menerusi kenyataan-kenyataan jumud dalam media sosialnya.

“Selain menunjukkan dirinya seorang yang laparkan perhatian, beliau juga telah menunjukkan bahawa dirinya lebih gemar ‘bermain politik’ berbanding berkhidmat kepada rakyat dan memenuhi tanggungjawab sebagai Speaker yang sepatutnya menjaga tingkah laku daripada dipandang serong oleh masyarakat.

“Di saat rakyat sedang berdepan cabaran kos sara hidup, beliau seharusnya berhenti daripada berkhayal dan kembali menjalankan tanggungjawab hakiki beliau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Puad mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, Mohd Puad juga dilaporkan mendakwa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) disifatkan sebagai senjata dan alat politik BERSATU bagi menjatuhkan UMNO.

Mohd Puad dipetik berkata, ROS hingga kini masih gagal meluluskan pindaan perlembagaan UMNO untuk membolehkan parti itu menunda pemilihan parti tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.