KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kementerian Pendidikan menghormati segala keputusan dan prokotol yang telah dipatuhi oleh Lembaga Peperiksaan (LP) berhubung tindakan badan itu membatalkan keputusan subjek Sejarah bagi 15 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata LP adalah lembaga bebas dan selagi ia mematuhi protokol yang ditetapkan, segala keputusan yang dibuat harus dihormati.

“Sekiranya perkara-perkara itu (pembatalan keputusan) telah memenuhi protokol dan peraturan yang ditetapkan LP maka di pihak KPM, kita menghormati keputusan itu.

“LP adalah badan bebas, kalau menteri masuk campur akan cetuskan senario kelam-kabut dalam konteks pelaksanaan peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Anugerah Penggunaan Digital dan Teknologi (DUTA) 2021 di Bukit Kiara pada Khamis.

Tular hantaran di Facebook mengenai surat keputusan LP yang mengekalkan status pembatalan keputusan kertas Sejarah 2 SPM 2012 bagi 15 pelajar sebuah sekolah di Putrajaya.

Menurut hantaran itu, pembatalan keputusan peperiksaan bagi subjek tersebut didakwa adalah berikutan pelajar terbabit yang terbawa masuk telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan.