KUALA LUMPUR, 8 Julai – Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Malaysia, Mastura Mohamad Darby menasihatkan kepada ahli-ahli BERSATU supaya tidak melupakan jasa-jasa pemimpin parti terutama Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau akui antara individu yang pertama menggerakkan parti itu dengan mendaftar ahli-ahli BERSATU di kaki lima kedai serbaneka 7Eleven sehingga sampai lebih 200 ahli baharu didaftar ke cawangan.

“Saya sendiri, mencipta cerita saya dari sebelum parti ditubuhkan hinggalah membantu membangunkan ahli parti di awal penubuhannya.

“Setiap malam saya buka meja mendaftar ahli di kaki lima 7E sehingga sampai lebih 200 ahli baharu yang saya daftar di cawangan dan saya hantar terus ke Pejabat presiden,” katanya.

Tambah Mastura, beliau lakukan perkara itu tanpa memegang apa-apa jawatan.

“Itu antara cerita saya. Antara naratif perjuangan awal saya dalam BERSATU bermula pada tahun 2016,” katanya.

Mengulas lanjut, Mastura berkata dalam masa enam tahun juga parti yang “baharu” ini telah melahirkan dua Perdana Menteri.

Katanya, sejarah akan terus ditulis dan dicipta oleh BERSATU.

“Dalam masa 6 tahun ini juga ketika dunia diuji dengan pandemik COVID 19, tiba-tiba seorang Pemimpin Melayu Allah angkat menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Tiada siapa boleh menafikan bahawa Muhyiddin telah mengemudi bahtera negara ini dengan cekap dengan menempuh gelora yang amat getir.

“Janganlah kita menjadi insan yang lupa pada jasa pemimpin. Pertahankan Abah dan sebar luaskan jasa Abah,” katanya.