BALING, 9 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan pusat sokongan sosial setempat berserta kaunselor untuk memberikan sokongan moral dan emosi kepada mangsa banjir di daerah ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, mangsa memerlukan bimbingan psikososial dalam menghadapi musibah berkenaan dengan didapati terdapat dalam kalangan mereka trauma akibat kejadian.

“Sebab kita tahu ada antara mereka yang trauma, ia bukan juga mangsa sedia ada ini, tetapi tadi saya juga didatangi oleh beberapa wakil dari taman berdekatan walaupun tak terjejas, dia pun rasa trauma takut nanti keadaan rumah dia selamat atau tidak.

“Jadi, kita perlu bersama beri bimbingan psikososial kepada mereka ini,” katanya selepas sesi taklimat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain menyampaikan sumbangan dan menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau An-Nur pada Sabtu.

Rina yang juga Ketua Srikandi BERSATU Malaysia berkata, wanita yang berniaga dan terjejas akibat kejadian itu juga akan dibantu daripada segi modal asas untuk memulakan kembali perniagaan mereka.

Mengenai sumbangan itu, beliau berkata ia berupa bakul makanan serta perkakas elektrik seperti periuk nasi dan kipas yang turut disumbangkan oleh syarikat korporat selain kementeriannya.

Banjir pada Isnin lepas itu menyebabkan 12 kampung terjejas dengan 15 rumah rosak teruk hingga tidak boleh didiami lagi selain meragut tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.