KUALA LUMPUR, 9 Julai – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad, mengesahkan wujud perjanjian antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Dr Marzuki berkata perjanjian itu disaksikan oleh dua individu yang penting daripada UMNO dan BERSATU.

“Saya ingin mengesahkan perjanjian ini wujud. Sebagai pegawai perdana menteri kelapan pada waktu itu, saya terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian ini.

“Ia ditandatangani oleh Tan Sri Muhyiddin dan perdana menteri pada 17 Ogos 2021 dan disaksikan oleh seorang menteri dari parti BERSATU dan seorang menteri dari UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Marzuki juga menjelaskan, satu fasal dalam perjanjian berkenaan menyebut bahawa dokumen perjanjian yang dipersetujui itu, tidak boleh diterbitkan atau dizahirkan dalam apa-apa bentuk, sebaliknya hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak.

“Ia hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Jelas Dr Marzuki lagi, beliau sendiri terbabit dalam penyediaan perjanjian di antara PN yang dianggotai BERSATU, PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) itu dengan perdana menteri.