KOTA KINABALU, 9 Julai – Kerajaan Sabah akan terus memberi komitmen penuh untuk memulihkan semula ekonomi negeri menerusi inisiatif digariskan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kesungguhan kerajaan Sabah dapat dilihat menerusi beberapa pencapaian signifikan pada tahun lepas termasuk mencatat kutipan hasil sebanyak RM5.449 bilion, tertinggi dalam sejarah negeri itu.

“Terdapat banyak lagi pencapaian kerajaan Sabah yang akan memanfaatkan rakyat di negeri ini secara keseluruhannya. Dalam soal membangunkan negeri ini, masih banyak yang perlu kita lakukan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha 1443H/2022.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpnan Negeri BERSATU Sabah berkata, kisah dan sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan anakanda Nabi Ismail AS menjadi iktibar yang perlu sentiasa dihayati oleh seluruh umat Islam dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian.

Bagi umat Islam di Sabah, katanya, iktibar daripada Aidiladha menjadi panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran khususnya dalam aspek ekonomi selepas penularan Covid-19.

“Bagi yang akan mengerjakan ibadah korban, tunaikanlah tanggungjawab dengan penuh tawaduk dan ikhlas. Agihkan daging korban kepada mereka yang memerlukan. Semoga melalui ibadah ini akan bertambah kukuh nilai perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah,” katanya.