Assalamualaikum w.b.t

Apa khabar semua?

Alhamdulillah, esok seluruh umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha dan marilah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita sekali lagi dapat menyambut hari kebesaran umat Islam ini.

Selepas solat sunat Aidiladha nanti, kita akan melaksanakan ibadah korban yang membawa pengertian sangat besar kepada umat Islam sebagaimana diceritakan dalam Al-Quran dan hadis.

Kisah kesediaan Nabi Ismail AS untuk dikorbankan oleh ayahnya Nabi Ibrahim AS bagi menuruti perintah Allah adalah satu pengorbanan besar yang menjadi pedoman kepada seluruh umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian.

Dalam konteks semasa, ketika negara berhadapan dengan peningkatan kes baharu COVID-19 akhir-akhir ini, setiap daripada kita perlu berkorban dengan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sama ada ketika berada di masjid, surau, ketika melakukan ibadah korban atau menghadiri rumah terbuka.

Dalam fasa pemulihan negara pula, setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk saling membantu mereka yang berada dalam kesusahan terutama kumpulan yang terjejas teruk.

Ibadah korban adalah tanda kita bersyukur atas rezeki yang Allah berikan dan sebagai bukti, kita perlu berkorban dan berkongsi kesyukuran itu dengan mereka yang tidak bernasib baik dan memerlukan.

Kita pernah melakukan pengorbanan ini ketika negara teruk dilanda pandemik dua tahun lalu yang mana setiap rakyat saling berganding bahu, bantu membantu mereka yang dalam kesukaran dan kesempitan dan insya-Allah kita boleh melakukannya sekali lagi.

Kepada yang sudah tiba di kampung halaman, raikan Aidiladha ini dengan penuh kegembiraan dengan ibu bapa dan sanak saudara manakala yang sedang dalam perjalanan pulang pula, berhati- hati memandu semoga anda semua selamat tiba di destinasi masing-masing.

Saya berdoa agar ibadah korban yang kita lakukan diterima Allah SWT dan kita sentiasa berada dalam rahmat-Nya.

Saya juga mendoakan semua jemaah yang sedang menunaikan haji di Tanah Suci dipermudahkan ibadah mereka, diberi kesihatan dan memperoleh haji yang mabrur.

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd