IPOH, 11 Julai – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu merujuk kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai kewujudan perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Takiyuddin ialah individu yang menggubal draf perjanjian berkenaan.

Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata, selain Takiyuddin, saksi perjanjian itu ialah Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

“Tandatangan diturunkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), disaksikan oleh Tan Sri Annuar Musa dan saya bagi PN disaksikan oleh Datuk Seri Hamzah serta ramai lagi pimpinan parti yang hadir.

“Jadi, mungkin Tok Guru boleh memeriksa kembali dengan Datuk Takiyuddin. Beliau sendiri yang sebenarnya adalah draftman kepada perjanjian itu. Itu kenyataan yang sebenarnya.

“Kesemua pimpinan tertinggi PN tahu mengenai itu dan kehadiran kita (PN) dalam kerajaan sekarang ini pun atas dasar PN. Bukan atas nama parti sahaja,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program Kenduri Rakyat PN Perak di Manjoi, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, serta Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi berkata tidak wujud perjanjian pelantikan Timbalan Perdana Menteri dalam PN, namun beliau mengakui perkara itu dibincangkan di antara PN dengan Ismail Sabri dan tiada keputusan dicapai.

Perkara mengenai jawatan berkenaan turut dibangkitkan bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin Datuk Dr Marzuki Mohamad yang mendakwa perjanjian di antara Ismail Sabri dengan PN mengenai jawatan itu memang wujud.

Marzuki mendakwa, beliau terbabit secara langsung dalam penyediaan perjanjian di antara PN dengan Ismail Sabri, selain mendedahkan perjanjian itu ditandatangani oleh Muhyiddin dan Ismail Sabri pada 17 Ogos 2021 dengan disaksikan oleh seorang menteri dari BERSATU dan UMNO.

Muhyiddin berkata, selain jawatan Timbalan Perdana Menteri, kandungan perjanjian itu antara lain menyentuh bilangan jawatan dalam Jemaah Menteri, khususnya kuota parti.

“Itu sebahagian daripada perjanjian itu dan sebab itu apabila Datuk Zuraida Kamaruddin (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) keluar BERSATU, maka wajarlah kuota itu diisi oleh Ahli Parlimen BERSATU.

“Jadi, kita tidak tuntut lebih. Yang kita kemukakan kepada Perdana Menteri adalah apa yang termaktub dalam perjanjian,” katanya.