KUALA LUMPUR, 11 Julai – Sayap Bersekutu BERSATU mendesak Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan segera meminta maaf secara terbuka kepada seluruh umat Hindu di Malaysia dalam masa 24 jam, susulan tersebar kenyataan dalam wawancara bersama Asia Times baru-baru ini, yang menghina adat, budaya dan agama Hindu.

Ketua Penerangan Sayap Bersekutu BERSATU, S Gobi Krishnan berkata dalam petikan wawancara itu, Mohamad merujuk kepada ‘kavadi’ dengan menyatakan UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), antara lainnnya kerana memikul ‘kavadi’ semasa berdepan pilihan raya dan merujuk ‘kavadi’ sebagai satu beban.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan beliau yang merujuk kepada ‘kavadi’ sebagai beban. Ini jelas satu penghinaan kepada agama Hindu dan menampakkan kecetekan kefahaman beliau mengenai adat, budaya dan agama Hindu.

“Jelas beliau tidak menghormati sensitiviti masyarakat India beragama Hindu dengan mengaitkan ritual agama Hindu sebagai satu beban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

S Gobi berkata demikian setelah merujuk kepada video yang dimuatnaik di laman facebook Chegubard Original mengenai komen oleh Datuk Seri Mohamad Hassan @ Tok Mat, Timbalan Presiden UMNO dalam wawancara Asia Times baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai kefahaman kavadi, S Gobi berkata kavadi adalah satu bentuk pembayaran nazar oleh masyarakat Hindu semasa perayaan Thaipusam saban tahun di mana masyarakat Hindu yang bernazar kemudiannya berpuasa dan menunaikan nazar mereka dengan mengangkat kavadi sebagai tanda terima kasih kepada Murugan Yang Maha Esa.

Dalam pada itu, S Gobi berkata jika Mohamad gagal untuk meminta maaf, semua NGO agama Hindu akan digerakkan untuk turut sama membuat laporan polis secara besar-besaran terhadap beliau di seluruh negara.

“Tindakan penghinaan terhadap mana-mana agama terutamanya yang dilakukan oleh pemimpin politik demi kepentingan politik sempit mereka tidak harus dibenarkan.

“Tok Mat sila minta maaf,” katanya.