IPOH, 11 Julai – Jumlah kehadiran yang begitu ramai di Kenduri Rakyat Aidiladha anjuran Perikatan Nasional (PN) Negeri Perak di Manjoi, sekali lagi membuktikan rakyat semakin menerima gabungan ini yang berpegang kepada prinsip integriti dan berjuang menyelesaikan masalah hidup rakyat.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sokongan padu yang sama seumpama ini sudah dapat dilihat ketika majlis pelancaran PN Kelantan di Tanah Merah awal bulan ini dengan kehadiran puluhan ribu rakyat ke majlis tersebut.

“Pada saya, apa yang kita lihat ini merupakan petanda baik bahawa rakyat mahukan satu parti yang kurang berpolitik tetapi lebih bekerja membantu menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan teruk sejak dua tahun lalu akibat penangan pandemik COVID-19.

“Rakyat inginkan parti yang turun ke akar umbi mendengar keluh-kesah mereka dan cuba membantu mengurangkan bebanan hidup dengan cara menyediakan pekerjaan serta meningkatkan pendapatan mereka.

“Saya percaya rakyat akan terus bersama dan menyokong jika kita terus menjadikan rakyat sebagai fokus perjuangan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara pemimpin PN yang hadir di majlis itu ialah Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Pengerusi 1, Razman Zakaria dan Naib Pengerusi 2, Datuk Seri See Tean Seng.

Selain menikmati pelbagai juadah hari raya, Muhyiddin turut mengagih-agihkan daging korban kepada orang ramai.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata PN sendiri telah membuktikan parti ini sentiasa mengutamakan nasib hidup rakyat sewaktu menjadi kerajaan ketika wabak COVID-19 melanda negara sedikit waktu dahulu.

Beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada PN negeri dan semua pimpinan parti yang memberi sokongan padu kepada program PN selama ini.

“Tahniah kepada Perikatan Nasional Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana berjaya menganjurkan majlis ini dengan berjaya sekali.

“Terima kasih juga kerana semua pimpinan parti BERSATU, Pas dan Gerakan Negeri Perak yang memberi sokongan padu dalam apa sahaja program PN negeri selama ini,” katanya.