KUALA LUMPUR, 11 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dinasihatkan tidak perlu keluar apa-apa kenyataan berkenaan BERSATU kerana hendak menutup kerosakan yang berlaku di dalam UMNO.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Selangor Mohd Shukor Mustaffa berkata Puad juga tidak perlu mencari publisiti murahan dengan mengalihkan perhatian tentang kecacatan yang berlaku di dalam UMNO.

“Saya ingin mengingatkan kepada Puad cukuplah! Tidak perlu lagi beliau untuk menunjuk pandai tentang parti BERSATU jika kamu sendiri tidak tahu. Kamu jaga sahaja hal rumah tangga parti kamu yang sedang bermasalah itu.

“Seluruh rakyat kini sedang mengikuti kes perbicaraan Presiden kamu dan sahabat baiknya itu.

“Tumpu sahaja pada DUN kamu dan buat kerja! parti kami tahulah kami hendak menguruskannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shukor berkata demikian mengulas mengenai teguran yang dibuat Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang menyifatkan Puad lebih gemar “bermain politik” daripada berkhidmat kepada rakyat.

Sahrudin juga melahirkan kehairanan dengan sikap Puad yang sering mencampuri urusan BERSATU dan menyifatkan Ahli Parlimen Rengit itu sebagai seorang yang lapar perhatian.

Mengulas lanjut, Mohd Shukor berkata mengenai isu jawatan timbalan perdana menteri (TPM), Puad perlu menghormati perjanian yang telah dibuat antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menyarankan Puad agar berdiam diri daripada berbicara mengenai isu itu.

“Mengotakan janji itu adalah lambang kemuliaan dan keperibadian seseorang yang berintegriti.

“Ini bukan soal jawatan tetapi ini soal akhlak dan perjanjian yang telah dibuat.

“Jika tidak tahu lebih baik tutup mulut dan diam,” katanya.