KUALA LUMPUR, 11 Julai – Malaysia menekankan kepentingan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat tempatan ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan menjelang 2030 (Agenda 2030).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, menegaskan Malaysia bersama negara jiran terutama Indonesia, Filipina dan Thailand perlu bekerjasama serta meningkatkan komitmen dalam melaksanakan matlamat itu.

“Usaha ini penting ketika dunia berusaha pulih daripada kesan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program sampingan sempena Forum Politik Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai SDG bertajuk ‘Building Back Better in Localising SDGs: A Case Study of Malaysia and Three Southeast Asian Country Experiences of the Partnership Model’ di Ibu Pejabat PBB di New York, hari ini.

Kenyataan mengenainya dikeluarkan Wisma Putra di sini, malam ini.

Program sampingan secara maya anjuran Kementerian Luar dan Unit Perancang Ekonomi dengan kerjasama APPGMSDG itu disertai Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Ia memberi peluang setiap negara berkongsi pencapaian cabaran amalan terbaik negara masing-masing dalam melaksana SDG serta usaha mencapai Agenda 2030.

Mustapa berkata, peranan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) dan The Malaysia CSO SDG Alliance diiktiraf dalam usaha menjalinkan kerjasama lebih kukuh antara ahli Parlimen, kerajaan negeri dan tempatan serta masyarakat bagi melaksana 121 projek penyelesaian di peringkat tempatan di 30 kawasan Parlimen.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, dalam ucapan penutup program itu menekankan pentingnya peranan dan kerjasama pihak berkepentingan termasuk badan kerajaan, swasta dan masyarakat sivil dalam menangani isu berkaitan pembangunan mampan.

“Ini termasuk isu kemiskinan dan ketidaksamaan, perubahan iklim, serta diskriminasi jantina, etnik atau kelas melalui agenda inklusif yang jelas terutamanya dalam mendekati kumpulan rentan dalam usaha pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan di peringkat tempatan,” katanya.

Forum Politik Peringkat Tinggi PBB mengenai Matlamat Pembangunan Mampan adalah platform utama PBB yang berperanan penting dalam tindakan susulan, semakan dan penilaian Agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di peringkat global.