KOTA BHARU, 11 Julai – Lebih 200 golongan asnaf dan yang memerlukan menerima daging korban yang diagihkan oleh Srikandi BERSATU Kelantan, hari ini.

Ketua Srikandi BERSATU Negeri Kelantan, Lina Aina Zakaria berkata, daging korban itu diagihkan sebagai untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Katanya, ia juga bagi meringankan beban golongan itu yang terkesan dengan kenaikan harga barang pada masa ini.

“Sebanyak dua ekor lembu yang dikorbankan oleh Srikandi Kelantan dan diagihkan kepada golongan memerlukan di 10 bahagian di Kelantan termasuk Kota Bharu, Machang, Kuala Krai.

“Kita mahu berkongsi rezeki dengan masyarakat terutama yang memerlukan sekali gus turut merasai keperitan yang ditanggung mereka.

“Selain itu, kita bercadang juga akan terus melakukan acara korban ini pada tahun hadapan,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir di Majlis Korban Srikandi Kelantan bersama Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin di Sungai Ketereh di sini, hari ini.

Lina Aina berkata, program itu juga adalah untuk mengeratkan jalinan ukhwah dan silaturahim antara pimpinan Srikandi BERSATU Kelantan.

“Alhamdulillah, dengan program ini Srikandi BERSATU Kelantan dapat berkumpul bersama-sama dengan pimpinan tertinggi BERSATU yang lain,” katanya.