KUALA LUMPUR, 13 Julai – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa meneliti semula prosedur permohonan lesen peniaga dan penjaja kecil bagi membolehkan rakyat menjalankan perniagaan berlesen mereka secara sah.

Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata dalam keadaan ekonomi negara yang semakin gawat dan membebankan ini, pihak kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan perlu memberi perhatian tentang perkara ini.

“DBKL perlu memperbaiki tatacara kelulusan permohonan dan pemberian lesen dengan memendekkan tempoh memproses lesen dari 30 hari kepada 3 hari.

“Mengapa rakyat perlu menunggu hingga berbulan untuk hanya mendapatkan lesen perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahathir juga mempersoalkan adakah kerajaan ingin menggalakkan peniaga atau penjaja berniaga tanpa lesen.

Katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan harus komited dalam usaha meningkatkan inovasi dengan mengurangkan birokrasi serta mempercepatkan proses tertentu yang berkaitan perolehan.

“Setiap masalah yang dikenal pasti kementerian harus diberi perhatian serius bagi memastikan semua peruntukan sedia ada dibawah jabatan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sistematik.

“Ramai rakyat mengadu tentang kelakuan penjawat awam yang bekerja di jabatan-jabatan kerajaan, kebanyakan mereka menghabiskan waktu bekerja untuk tujuan lain,” katanya.

Tambahnya, sikap melengah-lengahkan urusan tanpa menepati masa, rasuah berleluasa, tidak menghormati rakyat, melanggar peraturan dan segala macam lagi perkara-perkara negatif yang tidak perlu saya ceritakan disini.

Beliau berkata rdak dinafikan, ada sebahagian besar daripada mereka ini membantu tetapi dek kerana birokrasi ‘melampau’ rakyat hari ini menjadi mangsa.

“Jika Menteri bertanggungjawab bersikap sambil lewa dan acuh tidak acuh, maka sudah pasti ia akan menjejaskan imej dan integriti keseluruhan kementerian itu sendiri.

“Kes salah guna kuasa diselimuti amalan rasuah makin berleluasa dikalangan penjawat awam,” katanya.

Mahathir juga mencadangkan kepada kementerian untuk menukarkan mana mana pegawai atau pembantu tadbir yang lama bertugas disatu-satu bahagian atau unit kepada penempatan baru secara berkala.

“Apabila terlalu lama mulalah berlaku rasuah dan salah guna kuasa.

“Kementerian harus dipertanggungjawabkan dalam menangani masalah ini, demi menjernihkan semula imej dan integriti pihak berkuasa tempatan yang kian tercalar pada pandangan masyarakat akibat daripada perbuatan segelintir individu yang tidak amanah,” katanya.