PUTRAJAYA, 13 Julai – Rakyat di negara ini dinasihatkan agar tidak mengambil mudah mengenai prosedur pendaftaran perkahwinan terutamanya mereka yang berkahwin di luar negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sikap sambil lewa terhadap perundangan negara akan mengundang masalah pada masa akan datang.

“Saya menyeru mereka yang berkahwin dengan warga asing, daftarkan perkahwinan mengikut lunas-lunas perundangan negara,” katanya dalam ucapan majlis penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di kementeriannya dekat sini pada Rabu.

Menurutnya, penganugerahan kewarganegaraan perlu melalui proses yang panjang dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Taraf kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi dalam negara dan ianya bukan mudah,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 28 individu termasuk 19 orang berusia 12 tahun ke bawah diberi Surat Keputusan Kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Sejak Januari lalu seramai 487 penerima menerima surat tersebut membabitkan 335 penerima Bumiputera, 139 orang bukan Bumiputera dan 13 lagi lain-lain.

“Sejak Januari lalu hingga kini, kita sudah berikan kepada 335 penerima Bumiputera, 139 penerima bukan Bumiputera dan 13 penerima lain-lain,”

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan pegawai kanan kementerian.

Hamzah dalam pada itu turut mengingatkan individu tersebut menghargai penganugerahan itu dengan menjunjung Rukun Negara.

“Berpegang teguhlah kepada prinsip negara dan kedaulatan negara perlu dipertahankan,” katanya.