KUALA LUMPUR, 13 Julai – Perjanjian antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menguntungkan UMNO.

Bekas ketua setiausaha sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata beliau pelik orang UMNO paling tidak suka dengan perjanjian itu sedangkan banyak jawatan menteri dan timbalan Menteri mereka dapat.

“Dengan perjanjian itu lah seorang pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri.

“Usah dinafikan apabila Perdana Menteri daripada UMNO, banyak orang Umno dapat manfaat. Tak perlu saya hurai satu persatu apa manfaatnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Tambahnya, beliau tidak faham kenapa orang UMNO tidak menyukai perjanjian itu.

Beliau berkata sepatutnya UMNO sepatutnya menyambut baik perjanjian itu.

“Dengan perjanjian itulah, semua menteri dan timbalan menteri UMNO yang ada dalam Kabinet kerajaan PN kekal dalam kabinet.

“Yang tak jadi menteri sebelum ini pun dapat naik pangkat jadi menteri.

“Itu belum kira yang dapat merasa duduk dalam board GLC dan badan-badan berkanun. Daripada ketua cawangan, ketua puteri, ketua wanita, ketua pemuda sampailah ketua bahagian dapat merasa,” katanya.

Marzuki juga berkata jika tidak dapat jawatan GLC, sekurang-kurangnya dapat jadi ketua kampung dan ahli JKKK.

“Tak terfikir kah mereka yang semua ini berlaku kerana adanya perjanjian itu.

“Tak terfikir kah mereka semua ini takkan berlaku kalau Muhyiddin tak tandatangan perjanjian itu dengan Ismail Sabri,” katanya.

Dalam pada itu, Marzuki mempersoalkan mengapa UMNO malu nak mengaku adanya perjanjian itu.

Katanya, yang ada rugi sedikit daripada perjanjian ini adalah orang-orang BERSATU.

“Yang dulu duduk dalam board GLC dan badan-badan berkanun dah tak disambung lagi khidmat mereka. Tempat itu diisi oleh orang-orang Umno pula.

“Tak mengapa lah, mungkin kerana dah tamat tempoh perkhidmatan, tak disambung pun tak pe. Dapat peluang berkhidmat setahun dua pun dah cukup bertuah,” katanya.

Beliau berkata orang-orang BERSATU tidak tamak dan fokus buat kerja.

“Mangsa banjir kepala air di Baling dibantu. Bakul makanan terus dihantar ke rumah-rumah dalam keadaan rakyat susah zaman inflasi ini.

“Srikandi BERSATU pelopori projek tanaman hidroponik sayur-sayuran untuk diagih secara percuma kepada orang-orang kampung.

“Ahli-ahli Parlimen dan ADUN Bersatu terus buat kelerja untuk rakyat. Mereka tak sibuk nak ugut itu dan ini. Mereka tak ambil port pun apa orang UMNO nak kata.

“Mungkin inilah budaya politik baru yang dicari. InsyaAllah dalam setiap kesusahan ada kesenangan. Itu janji Allah,” katanya.