KUALA LUMPUR, 13 Julai – Susulan tiada permohonan maaf secara terbuka seperti yang dituntut, Sayap Bersekutu BERSATU membuat aduan polis terhadap Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan kerana mengeluarkan kenyataan menghina agama Hindu dengan mengaitkan kavadi sebagai satu beban, seperti yang disiar dalam wawancara Asia Times.

Ketua Penerangan Sayap Bersekutu BERSATU S Gobi Krishnan berkata beliau sudah menuntut Mohamad untuk meminta maaf dua hari lalu, tetapi masih diam membisu sehingga ke hari ini.

“Saya nak beritahu Tok Mat, berdiam diri tidak akan selesaikan masalah.

“Mari ke depan. Kalau Tok Mat tak mahu, kita sendiri akan berjumpa dia. Kita minta pihak polis ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis terhadap Mohamad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Dalam wawancara dengan Asia Times baru-baru ini, Mohamad menyebut tentang “kavadi besar” untuk menjelaskan kekalahan Umno semasa pilihan raya umum 2018.

Mohamad juga dipercayai keliru mengenai sambutan Deepavali dengan Thaipusam.

“Umno dikalahkan pada pilihan raya umum 2018 bukan kerana Umno tidak menjaga rakyat tetapi Umno mempunyai “kavadi besar”, kamu tahu kavadi?

“Apabila orang Hindu merayakan Deepavali. Mereka membawa kavadi besar ini. Bagasi besar ini,” kata Mohamad.

Dalam pada itu, S Gobi menggesa polis supaya menyiasat Mohamad di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidaktenteraman awam dan perasaan benci sesama kaum dan agama serta Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya akan serahkan bukti video dan audio kenyataan beliau,” katanya.

Mengulas lanjut, S Gobi memuji pemimpin-pemimpin dalam BERSATU yang lebih memahami dan menghormati kaum bukan Melayu.

“Pemimpin tertinggi Umno seperti ini, saya pelik apa nak jadi.

“Saya nak puji pemimpin-pemimpin Melayu dalam BERSATU, mereka lebih memahami dan menerima kami.

“Saya minta pemimpin UMNO ini belajar daripada BERSATU,” katanya.