SEPANG, 14 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mewujudkan Pusat Sehenti Kuarantin Negara (OSQC) di pintu masuk utama pengimportan dan pengeksportan negara bagi memperkukuhkan kawalan biosekuriti negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sebagai permulaan OSQC itu akan beroperasi di Pelabuhan Klang.

Katanya, pelaksanaan OSQC itu secara dasarnya sudah dipersetujui ketika mesyuarat Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara yang diadakan pada minggu lalu.

“Menerusi OSQC, kemasukan produk makanan itu lebih terperinci namun prosesnya lebih cepat dan mudah. Sekarang ini kita di peringkat menyelaras dengan beberapa agensi berkaitan, bagaimanapun secara dasarnya Kabinet sudah bersetuju.

“OSQC ini akan pastikan semua bahan makanan import yang dari luar negara memenuhi syarat yang diletakkan oleh kerajaan dan memastikan elemen kesihatan dipatuhi oleh setiap negara berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Operasi Import dan Eksport Produk Pertanian di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) adalah benteng utama bagi menjaga jaminan bekalan dan keselamatan makanan khususnya keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara.

“Maqis akan terus menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang negara dalam memastikan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak atau penyakit merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal di semua pintu masuk negara demi jaminan sekuriti makanan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Maqis, Ronald berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan persetujuan daripada kerajaan bagi menambah kakitangan jabatan berkenaan yang mampu membantu memantapkan biosekuriti di negara ini.

“Maqis kini sedang menghadapi kekurangan kakitangan, jadi kita sedang dalam proses untuk menambah jumlah berkenaan dan tindakan itu dapat menampung keperluan dalam jabatan ini,” katanya.