KUALA LUMPUR, 14 Julai – Satu siasatan akan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan kerana didakwa membuat kenyataan yang dianggap tidak sensitif kepada masyarakat Hindu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, susulan satu laporan yang dibuat terhadap pemimpin utama UMNO itu oleh Sayap Bersekutu BERSATU.

“Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Semalam, Ketua Penerangan Sayap Bersekutu BERSATU, S Gobi Krishnan membuat laporan terhadap Mohamad selepas tiada permohonan maaf secara terbuka seperti yang dituntut, kerana mengeluarkan kenyataan menghina agama Hindu dengan mengaitkan kavadi sebagai satu beban, seperti yang disiar dalam wawancara Asia Times.

“Saya nak beritahu Tok Mat, berdiam diri tidak akan selesaikan masalah.

“Mari ke depan. Kalau Tok Mat tak mahu, kita sendiri akan berjumpa dia. Kita minta pihak polis ambil tindakan,” katanya.

Dalam wawancara dengan Asia Times baru-baru ini, Mohamad menyebut tentang “kavadi besar” untuk menjelaskan kekalahan UMNO semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Mohamad juga dipercayai keliru mengenai sambutan Deepavali dengan Thaipusam apabila menyentuh mengenai “kavadi”

“UMNO dikalahkan pada PRU 2018 bukan kerana UMNO tidak menjaga rakyat tetapi UMNO mempunyai “kavadi besar”, kamu tahu kavadi?

“Apabila orang Hindu merayakan Deepavali. Mereka membawa kavadi besar ini. Bagasi besar ini,” kata Mohamad dipetik dalam audio rakaman wawancara tersebut.

Mengulas lanjut, S Gobi memuji pemimpin-pemimpin dalam BERSATU yang lebih memahami dan menghormati kaum bukan Melayu.

“Pemimpin tertinggi UMNO seperti ini, saya pelik apa nak jadi.

“Saya nak puji pemimpin-pemimpin Melayu dalam BERSATU, mereka lebih memahami dan menerima kami.

“Saya minta pemimpin UMNO ini belajar daripada BERSATU,” katanya.