KUALA LUMPUR, 15 Julai – Krisis Perlembagaan UMNO masa ini menyebabkan parti itu sekali lagi berdepan masalah.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan BERSATU, Kamarudin Mohd Kasim berkata beliau juga menyifatkan krisis UMNO ibarat retak menanti belah.

“UMNO tak lekang dengan krisis. Lahirnya UMNO dengan semangat juang dan ikhlasnya pemimpin membela nasib Melayu pada masa dulu.

“Akibat dan bahana gila kuasa, kejar harta, unsur menindas, unsur menidakkan yang hak, unsur cantas mencantas, berebut takhta salah guna kuasa akhirnya UMNO yang kita kenali melalui catatan sejarah sebagai sebuah parti payung bangsa sekarang menjadi duri dalam daging bangsa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata pergolakan demi pergolakan dalam UMNO terbina cetusan dari ketamakan pemimpinnya.

Katanya, ada ahli UMNO dengan yakin berkata pergolakan dalaman UMNO adalah proses mematangkan parti itu tetapi sebenarnya tidak.

“Pergolakan-pergolakan ini sebenarnya satu fenomena yang mengunjurkan kepada penamatan usia parti itu.

“Itu sebab ada pemimpin UMNO yang ikhlas melihat perkara ini dengan mata burung, melihat jauh kedepan. Pemimpin ini tegas membina awal kubu baharu untuk naungan orang Melayu. Kerana mereka tahu usia UMNO akan tamat,” katanya.

Kamarudin berkata untuk rekod, krisis awal UMNO berlaku seawal tahun 1946 iaitu tahun pertama parti itu dibentuk.

Katanya, selepas itu berlaku pergolakan demi pergolakan iatu pada tahun 1951, 1953, 1964, 1969, 1976, 1978, 1982, 1987, 1998, 2013, 2016, 2018 dan sekarang 2022 hampir sampai ke garis penamatnya.

Mei lalu, UMNO sebulat suara meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum untuk memberi ruang kepada ahli memfokuskan gerak kerja pilihan raya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mempunyai masa 60 hari hingga 16 Julai ini untuk meluluskan pindaan perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, JPPM belum mengeluarkan surat status kelulusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan Umno bagi menangguhkan pemilihan parti.