KUALA LUMPUR, 15 Julai – Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan mengemukakan syor kepada kerajaan untuk menambah baik sektor pelabuhan bagi memastikan kelancaran proses logistik tidak terjejas.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini selari dengan kapasiti pelabuhan yang semakin meningkat, jaringan infrastruktur di kawasan pelabuhan juga perlu dipertingkatkan.

Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata, konflik Rusia-Ukraine dan penutupan sektor ekonomi negara Cina yang menjejaskan bekalan rantaian global turut mengakibatkan berlakunya penyusutan dalam sektor itu, baru-baru ini.

“Pada Mac lalu, berlaku penyusutan sehingga 11.9 peratus bagi pengendalian kontena manakala jumlah kargo (8.7 peratus) berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Mesyuarat MPN akan membincangkan serta mengemukakan syor penambahbaikan kepada kerajaan.

“Sektor ini perlu diberi perhatian serius memandangkan 90 peratus kargo Malaysia dikendalikan melalui sektor perkapalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Klang, Selangor bagi melihat situasi pemulihan sektor logistik pasca pandemik COVID-19.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sektor itu perlu diperkukuh bukan sahaja untuk memastikan kedudukan Malaysia untuk kekal berdaya saing di peringkat perdagangan antarabangsa, tetapi juga kerana sektor logistik mempunyai peluang untuk berkembang maju dan memberi manfaat besar kepada ekonomi negara termasuk segi menyediakan peluang pekerjaan.

“Dengan langkah-langkah yang strategik dan kerjasama padu antara kerajaan dan pihak swasta, saya optimistik bahawa sektor ini bukan sahaja akan terus pulih, tetapi akan berkembang pesat dan mengatasi pencapaian pra-pandemik dengan cemerlang,” katanya.