MELAKA, 15 Julai – Atas permintaan ramai, Gerai Prihatin Rakyat (GPR) Drive-Thru kini kembali ketika isu kos sara hidup sangat membelenggu rakyat ketika ini, bertempat di Taman Rekreasi One Krubong pada Ahad ini (17 Julai).

Ketua Bahagian BERSATU Tangga Batu Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen berkata GPR yang dianjurkan BERSATU Bahagian Tangga Batu dengan kerjasama Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tangga Batu akan bermula 10.30 pagi, terhad kepada 1,000 pembeli terawal.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata inisiatif ini dapat membantu sedikit sebanyak meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya di Parlimen Tangga Batu.

“Walaupun saya akui tawaran harga GPR kali ini tidak semurah seperti sebelum ini dalam bentuk pakej harga luar biasa rendah dengan tawaran harga yang “tidak masuk akal”, namun harga yang ditawarkan GPR Ahad ini masih jauh lebih rendah berbanding harga pasaran ayam segar, telur ayam dan minyak masak yang dijual di pasaran ketika ini.

“Saya mohon maaf, dalam keadaan PN yang bukan lagi menjadi sebahagian Kerajaan Melaka dan dalam keterbatasan saya yang kini bukan lagi EXCO Kerajaan Melaka dan Wakil Rakyat kawasan, ini sahaja yang termampu saya lakukan untuk membantu rakyat di bawah pimpinan saya melalui platform saya sebagai Ketua BERSATU Bahagian Tangga Batu,” katanya.

Antara syarat pembelian, orang ramai perlu mempunyai kad pengenalan beralamat di Parlimen Tangga Batu, pembelian barangan dihadkan untuk satu rumah seperti dua paket minyak masak, seekor ayam dan sepapan telur, dan pembelian hanya untuk kegunaan isi rumah sahaja.