Perlantikan Pengerusi PTPTN ialah untuk tempoh dua tahun. Saya dilantik bermula 18 Jun 2018 dan diperbaharui pada 2020. Maksudnya memang sudah lama kita tahu bahawa 17 Jun 2022 lantikan tamat. Terkejut juga saya apabila ia menjadi tajuk beberapa laporan berita seolah-olah sebelum ini ia rahsia.

Sepanjang empat tahun memimpin PTPTN, saya bangga dengan pencapaian yang dapat diusahakan, walaupun saya juga tahu bahawa banyak lagi yang perlu terus ditambahbaik oleh pengurusan selepas ini.

CABARAN

Semasa saya mula menjadi Pengerusi pada 18 Jun 2018, saya dapati PTPTN menghadapi beberapa masalah besar:

Pertama, model operasi PTPTN ialah “pinjam dari pasaran kewangan pada kadar tinggi, untuk bagi pinjam kepada pelajar pada kadar rendah”. Model operasi ini songsang dan salah dari awal-awal lagi. Ia menyebabkan PTPTN punyai hutang berjaminan kerajaan sebanyak lebih RM40 bilion setakat tahun 2018. Satu jumlah yang amat besar.

Kedua, budaya yang ditanam kepada rakyat ialah budaya “berhutang dan jangan bayar hutang”. Akibatnya, peratusan peminjam yang tidak pernah bayar atau tidak konsisten membayar melebihi 51 peratus. Pada tahun 2019 saya mendedahkan bahawa satu permohonan baru mungkin terpaksa ditolak bagi setiap RM7,000 yang tidak dibayar kembali. Kesan negatif dari budaya tidak sihat yang ditanam ini amat besar kepada pembinaan sumber insan negara.

Ketiga, pegawai atasan PTPTN terdiri dari mereka yang lama berkhidmat. Mereka amat sayang dan amat berdedikasi kepada PTPTN. Tapi pada waktu yang sama, sukar untuk mereka bawa budaya kerja baru atau disiplin organisasi baru kerana selepas berbelas tahun di organisasi yang sama, mereka tidak pernah terdedah dengan best practices di tempat lain, budaya kerja lama sudah sebati dalam diri dan idea-idea baru sukar dicerakinkan.

LOW HANGING FRUITS

Saya cuba mengubah tiga “low hanging fruits” dahulu.

Pertama, kempen menabung diperhebat dan dijadikan KPI untuk pengurusan tertinggi. Menabung akan mengurangkan kebergantungan kepada hutang. Saya menjelajah dari Padang Besar hingga ke Tawau dan Belaga untuk berkempen menabung.

Saya sedar biasanya yang boleh menabung ialah orang yang ada duit lebih. Jadi, untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah juga menabung, saya hidupkan kempen Geran Sepadan. Bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, PTPTN akan memberi geran satu ringgit untuk bagi setiap ringgit yang mereka simpan, sehingga maksima RM10,000. Maksudnya, jika mereka simpan RM10,000 dalam masa 10 tahun, mereka boleh keluarkan RM20,000 apabila anak mereka mendaftar di IPT, kerana PTPTN berikan RM10,000 geran tambahan percuma. Saya pastikan manfaat menabung di PTPTN bukan untuk orang kaya sahaja, tetapi untuk semua.

Hasil kempen ini, dalam masa empat tahun, jumlah kutipan tahunan deposit SSPN meningkat dari sekitar RM700 juta pada 2017 menjadi RM3 bilion pada 2021. Peningkatan lebih empat kali ganda dalam tempoh empat tahun adalah hasil cemerlang. Saya anggap itu sumbangan saya dalam mengubah budaya masyarakat kita ke arah yang lebih baik dalam ruang lingkup yang saya ada.

Kedua, untuk menyuntik budaya kerja baru, saya mengambil keputusan bahawa lantikan CEO perlu melalui proses kompetitif dan bukan berdasarkan “seniority”, iaitu ada iklan terbuka dan ada temuduga oleh Lembaga Pengarah. Dan lantikan pula adalah secara kontrak. Proses memohon kebenaran JPA mengambil masa berbulan-bulan tapi akhirnya selesai juga.

Ini memberi dua signal. Signal pertama ialah jawatan bukan suatu yang tetap dan pegawai mestilah “perform”. Signal kedua, lantikan ke pengurusan atasan tidak semestinya berdasarkan “seniority” tetapi mestilah berteraskan merit dan visi.

Ketiga, dalam mengusahakan semua perubahan, jangan bebankan peminjam. Maka, seingat saya sepanjang hampir dua daripada empat tahun saya di PTPTN, kita memberikan moratorium kepada mereka yang memerlukannya. Ini supaya anak muda yang mengalami kesukaran hidup tidak terbeban dengan hutang PTPTN.

TIDAK TERCAPAI

Saya sebenarnya berniat mengubah semua jawatan pengurusan kanan kepada status kontrak berdasarkan merit agar kita lebih mudah bawa masuk budaya dan idea baru, manakala jawatan peringkat pelaksana dan eksekutif pemasaran dijadikan tetap kerana pegawai pelaksana adalah dari golongan yang memerlukan kestabilan kewangan. Pengurusan kanan ini hanya beberapa orang saja sebenarnya daripada sekitar 1,400 orang jumlah pegawai keseluruhan.

Tetapi hajat yang ini tidak dapat saya capai sepenuhnya. Saya hanya dapat mengubah jawatan Ketua Eksekutif saja kepada kontrak.

Saya juga tidak dapat mengubah model operasi PTPTN yang songsang dan salah. Saya pernah menulis surat kepada YAB Perdana Menteri, YB Menteri Kewangan, dan YB Menteri Pengajian Tinggi mengatakan bahawa model operasi PTPTN tidak masuk akal. Pinjam pada kadar tinggi untuk bagi pinjam pada kadar rendah. Sudah pasti PTPTN tidak akan sustainable.

Menteri yang bersungguh-sungguh mahu membawa perubahan kepada PTPTN ialah rakan saya YB Dr Maszlee Malik. Hampir setiap minggu dia check progress. Tetapi selepas beliau, kaput. Bukan saja tiada political will, malahan tiada political interest.

Saya juga pernah mencadangkan supaya PTPTN diletakkan di bawah kawal selia Kementerian Kewangan, bukan Kementerian Pengajian Tinggi. PTPTN ialah institusi kewangan, bukan institusi pengajian tinggi. Di bawah Kementerian Kewangan, PTPTN akan boleh ditadbir dengan lebih profesional. Tetapi jawapan yang saya selalu terima ialah “Menteri Pengajian Tinggi tak akan setuju”.

Akibatnya, hingga hari ini birokrasi dalaman PTPTN menjadi panjang. Pernah sekali, keputusan pelaburan tertangguh berbulan-bulan kerana tersangkut entah kenapa di Kementerian Pengajian Tinggi. Yang tanggung akibat ialah pendeposit SSPN seramai berjuta orang kerana pulangan pelaburan adalah sensitif kepada peredaran suasana semasa.

LANGKAH JANGKA PANJANG

PTPTN ada peranan besar dalam pembangunan modal insan negara. Sebab itu saya menggerakkan dua kajian. Satu ialah kajian menyeluruh yang melibatkan konsultasi rakyat secara besar-besaran. Dan satu lagi ialah sebuah Jawatankuasa peringkat Lembaga Pengarah yang diketuai oleh Tan Sri Sulaiman Mahbub.

Hasil kajian pertama telah saya serapkan dalam Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 yang saya lancarkan pada 29 Julai 2021. Saya mengubah moto PTPTN kepada “Peluang Kejayaan Anda” agar ia dapat diposisikan sebagai agensi yang membantu anak muda membina hidup dan melakar kejayaan, bukan lagi agensi yang dilihat sebagai “Ah Long”. Pelan dan moto ini sedang memandu pergerakan PTPTN hari ini.

Hasil kajian kedua pula memerlukan tindakan kerajaan yang lebih menyeluruh. Untuk mengelakkan kajian ini hilang begitu saja, saya telah menghantar dapatan kami kepada Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pengajian Tinggi. Dalam dapatan itu, ada sembilan cadangan, dan antaranya adalah:

  1. Tumpuan kepada kempen menabung yang saya mulakan pada 2018 mesti diteruskan.
  2. Sumber dana seperti zakat perlu diteroka untuk membiayai pendidikan tinggi.
  3. Bank perlu diajak untuk turut memberi pinjaman pendidikan dengan “interest subsidy” dari kerajaan agar kos pinjaman kekal rendah
  4. PTPTN mesti memberi tumpuan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah tanpa mengira bangsa dan kaum.
  5. Sebagai institusi kewangan, PTPTN dipindahkan daripada Kementerian Pengajian Tinggi kepada Kementerian Kewangan.

JANGAN DIPOLITIKKAN

Sepanjang saya menjadi Pengerusi, ada juga beberapa kali orang politik cuba menjadikan PTPTN sebagai isu politik. Saya sentiasa mengelak dari menjawab mereka walaupun individu seperti Shamsul Anuar Nasarah dan Asyraf Wajdi dan beberapa orang lagi banyak membuat provokasi murahan.

Saya tegas dengan pandangan bahawa PTPTN rosak sehingga menjadi bom jangka kepada kewangan negara kerana ada ahli politik tidak bertanggungjawab yang mempergunakan PTPTN untuk faedah politik jangka pendek. Hutang dan kos dana yang saya warisi akibat dari model operasi songsang yang mereka tinggalkan melebihi RM40 bilion. Saya telah merangka cara untuk PTPTN keluar dari masalah tersebut. Selepas ini ia perlu dilaksanakan dengan tegas. Saya tak mahu PTPTN jadi bahan ahli politik yang cari glamer murah.

Sebab itulah saya tidak pernah menjawab provokasi politik murahan mereka. Biarlah rakyat menilai perangai buruk mereka. Pembinaan modal insan negara adalah satu perkara yang terlalu amat penting dan berharga.

Saya juga berharap PTPTN tidak dijadikan isu politik dalam PRU15 nanti. Jangan jadikan PTPTN bola sepak politik sehingga ia menjadi satu lagi skandal seperti 1MDB. Nanti kosnya tinggi kepada negara.

Datuk Wan Saiful Wan Jan adalah Ketua Penerangan BERSATU Malaysia dan mantan Pengerusi PTPTN.