KUALA LUMPUR, 15 Julai – Biarpun mendapat pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak-anak di bawah institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini tidak dapat melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi atau di Institut Latihan Kemahiran kerana mereka datang dari pelbagai latar belakang keluarga kerana berdepan masalah sosioekonomi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ini mendorong anak-anak ini memilih untuk bekerja daripada meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

“Mengambilkira isu ini, saya telah mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terutamanya Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk bekerjasama demi masa depan mereka yang lebih cerah.

“Antara persetujuan yang telah dicapai adalah peluang pendidikan kepada anak-anak JKM yang cemerlang dalam bidang akademik untuk menyambung pelajaran di peringkat tertinggi di Institusi-institusi pendidikan bawah seliaan MARA.

“InsyaAllah anak-anak ini juga akan mendapat tawaran pembiayaan pendidikan berupa Biasiswa atau Pinjaman Boleh Ubah sebagai dorongan untuk mereka melanjutkan pengajian ke peringkat Pengajian Tinggi,” katanya.

Seramai 13 orang anak-anak di bawah JKM diraikan dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM Anak-Anak JKM sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan atas kejayaan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2021, baru-baru ini.

Dua daripada mereka mendapat keputusan 6A, manakala 11 orang berjaya mendapat sekurang-kurangnya 1A dari semua mata pelajaran yang diambil.

Turut hadir dalam majlis ini, Ketua Setiausaha Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Maziah Che Yusoff.

Selain itu, Rina berkata kouta khas juga akan diberikan kepada anak-anak institusi JKM untuk menerima tawaran pinjaman pembiayaan ini dengan kelonggaran syarat.

Beliau yang juga Ketua Srikandi BERSATU, berhasrat untuk memastikan anak-anak lepasan SPM ini mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang yang diminati termasuk bidang kemahiran.

“Pada masa yang sama KPWKM akan mengemukakan satu kertas pertimbangan dalam Majlis Sosial Negara (MSN) untuk melibatkan perkongsian tanggungjawab sosial di antara kerajaan dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau Goverment Linked Company (GLC).

“Penglibatan GLC diharap dapat menyediakan peluang belajar dalam suasana yang lebih selesa dan tidak terganggu dengan masalah kewangan serta mendapat sokongan sosial dari pelbagai pihak.

“Sudah tentu, peluang ini secara tidak langsung akan meningkatkan maruah diri mereka dan dapat membantu mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.