KUALA LUMPUR, 16 Julai – Armada BERSATU membidas tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Tan Sri Johan Jaaffar menyerang Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung kenyataan sumbangan terhadap PTPTN.

Ketua Armada BERSATU Sepang, Ts. Muhammad Shahmi Shamsuddin berkata mereka berdua tergugat dengan apa yang diperkatakan oleh Wan Saiful semalam

“Kenapa bersungguh benar gaya mereka menyerang Datuk Wan Saiful. Kenapa suka benar ‘mengusik’ PTPTN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal hari ini dalam kenyataan, bekas Ahli Lembaga Pengarah PTPTN, Tan Sri Johan Jaafar berkata, Wan Saiful angkuh tidak bertempat sedangkan sumbangannya sepanjang empat tahun menerajui institusi itu hanya ibarat gendang kosong yang dipalu.

Mengulas lanjut, Shahmi berkata mereka menyerang berikutan jawatan pengerusi PTPTN itu masih kosong sejak tempoh khidmat Wan Saiful tamat sejak 17 Jun lalu dan telah genap sebulan.

Katanya, jika UMNO dapat jawatan itu sangat berbaloi untuk parti itu.

Beliau menjelaskan ini berikutan sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negara pada Mac 2020, PTPTN mencatatkan 433,722 peminjam membayar balik pinjaman mereka dengan nilai RM 1.9 billion.

Tambahnya, hanya pada tempoh singkat 1 November 2021 hingga 30 April 2022.

“Mereka ini tidak perlu diugut untuk disenarai hitam oleh CCRIS dan imigresen pun macam zaman UMNO dulu.

“RM 1.9 bilion hanya dalam 6 bulan. Berbaloi tak nak berebut kerusi itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahmi mempersoalkan sama ada betul atau tidak PTPTN zaman UMNO dulu model operasinya adalah pinjam dari pasaran modal atau pasaran kewangan.

Katanya, adakah Asyraf dan Johan setuju dengan model operasi itu hampir sama dengan Ah Long, iaitu untung atas angin.

“Kalau orang tak mampu bayar akibat tekanan ekonomi teruk masa tu, mereka disenarai hitamkan dan dikenakan sekatan perjalanan ‘travel ban’.

“Soalan kedua untuk Asyraf dan Johan. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak kongsi ke dengan korang berdua pasal kuota kerusi Pengerusi PTPTN itu untuk BERSATU macam apa dimaktubkan dalam perjanjian haritu.

“Benda sepenting ini takkan lah korang tak bincang dulu dalam group WhatsApp,” katanya.