TUARAN, 16 Julai – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baharu bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan kepada belia seterusnya menurunkan kadar pengangguran.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ada inisiatif yang dilaksanakan KBS, antaranya Program Youth Career (Y-Career) dan Skill for Youth (S4Y) iaitu platform padanan kerja dan latihan intensif bersama pihak industri dengan jaminan pekerjaan kepada belia.

“Sempena karnival sambutan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan di sini, terdapat lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program Y-Career.

“Manakala menerusi program S4Y pula, terdapat 2,000 peluang latihan dan jaminan pekerjaan, yang melibatkan peruntukan RM3 juta,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan di Padang Pekan Tuaran di sini pada Sabtu.

Sambutan Hari Belia Negara 2022 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ismail Sabri dalam ucapan perasmiannya berkata, kadar pengangguran dalam kalangan belia yang berusia 15 hingga 40 tahun di seluruh negara menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus dalam tempoh sama tahun lepas.

Ahmad Faizal berkata, bersesuaian dengan tema Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan iaitu ‘Ini Masa Kita’, belia kini tidak boleh lagi mengambil pendekatan relax atau ‘tunggu dan lihat’.

Katanya, belia hari ini perlu terus bergerak ke hadapan dan berusaha memajukan diri, apatah lagi selepas negara berdepan situasi sukar iaitu penularan Covid-19 yang merencatkan pembangunan dan ekonomi negara.

Malah impak situasi itu antara lain dapat digambarkan melalui dapatan Indeks Belia Malaysia 2021 bagi Domain Ekonomi dengan skor kebolehpekerjaan adalah pada 59.07 iaitu satu tahap yang tidak memuaskan.