KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ketua Armada BERSATU Subang, Haszrilhafizi Mohayan berkata jasa Datuk Wan Saiful Wan Jan yang tidak menyenaraihitamkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak membayar pinjaman mereka, perlu dihargai.

Beliau berkata pendekatan yang diambil Wan Saiful berbeza berbanding pimpinan UMNO sebelum itu yang dilihat atau berfungsi sebagai “Ah Long”.

Tambahnya, ini dimana pada tahun yang dinyatakan bekas Ahli Lembaga Pengarah PTPTN, Tan Sri Johan Jaaffar, iaitu hampir 1 juta lebih pelajar dimasukkan dalam senarai hitam imigresen dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) untuk memaksa mereka membayar hutang walaupun tidak mempunyai pekerjaan.

“Menerusi kenyataan Tan Sri Johan Jaaffar satu perkara yang dibanggakan beliau malah diungkap sebagai kejayaan terbesar adalah berjaya memungut hutang sejumlah RM3.8 billion dengan tidak menyatakan kaedahnya.

“Kenyataan ini secara tidak langsung mengesahkan kenyataan Datuk Wan Saiful Wan Jan sebelum ini bahawa PTPTN sebelum ini dilihat atau berfungsi sebagai “Ah Long”,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Johan berkata kenyataan Wan Saiful berhubung ‘sumbangan’ beliau selaku pengerusi perbadanan itu selama empat tahun tidak lebih daripada gendang kosong yang dipalu.

Johan berkata kenyataan Wan Saiful itu juga menampakkan keangkuhan beliau yang tidak bertempat.

Kata Johan, Wan Saiful dilantik sebagai pengerusi PTPTN sebaik sahaja kemenangan Pakatan Harapan (PH), pada 2018.

Semalam, Wan Saiful yang juga ketua penerangan BERSATU, mengesahkan tidak lagi menjawat jawatan pengerusi PTPTN selepas kontraknya tamat, pada 17 Jun lalu.

Bagaimanapun, beliau berbangga dengan pencapaian dan usaha yang dilaksanakan di PTPTN ketika menjawat jawatan itu terutamanya berkaitan penyelesaian jangka panjang dan hutang anak muda dengan menggalakkan penabungan.

Mengulas lanjut, Haszrilhafizi berkata module Wan Saiful ambil dalam PTPTN dimana 433,000 peminjam dikeluarkan dari senarai hitam pada 15 Jun 2018 tanpa mereka perlu membayar sepenuhnya hutang mereka.

Katanya, cara Wan Saiful adalah untuk mendidik mereka membayar hutang adalah dengan memberikan diskaun bayaran dan bayaran ansuran mengikut kemampuan semasa.

“Seramai 433,722 peminjam membayar balik pinjaman mereka dengan jumlah RM1.9 billion dari 1 November 2021 hingga 30 April 2022 tanpa perlu disenarai hitam dan menggelapkan masa depan mereka.

“Ini jasa Wan Saiful Wan Jan yang perlu dihargai,” katanya.