PUTRAJAYA, 17 Julai – Menteri Dalam Negeri tidak mencampuri urusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) walaupun jabatan itu terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau tidak campur tangan dalam sebarang urusan ROS, termasuk permohonan UMNO untuk meminda perlembagaannya, yang antara lain mahu mengadakan pemilihan parti, enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

“Biarpun ROS berada di bawah Kementerian Dalam Negeri, saya tidak mencampuri urusan itu kecuali mereka ada membuat permohonan rayuan yang diserahkan kepada saya.

“Saya tidak mempunyai autoriti berkenaan perkara itu dan menyangkal dakwaan sesetengah pihak mengatakan saya berkuasa dalam perkara itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Silaturahim Pendekar, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai ROS yang masih belum mengeluarkan keputusan berhubung permohonan UMNO meminda perlembagaan untuk mengadakan pemilihan parti, enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).